Super KIP kembali gegar litar
BEKAS pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mahu menjadikan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 sebagai platform terbaik untuk kembali terlibat dalam sukan permotoran, lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI.
Khairul Idham berkata, dia mula terdetik untuk kembali menggegar litar baru-baru ini sehingga membuat keputusan menerima tawaran daripada TKKR Racing Team.
Malah, Khairul Idham yang lebih mesra disapa Super KIP turut percaya masih mempunyai ‘jiwa’ untuk berlumba biarpun lebih setahun tidak terlibat dengan sebarang sukan permotoran sejak November 2020.
“Saya sebenarnya dah lama tak bawa motor (untuk berlumba di pentas kompetitif). Lagipun Litar Datuk Sagor di Kampung Gajah (Perak) ini pun masih dalam proses ubah suai.
“Insya-ALLAH, minggu ini saya akan cuba biasakan diri untuk ride semula, selesakan diri dengan jentera. Minggu ini saya nak enjoy dulu dengan jentera dan cuba dapatkan semula rentak tungganggan.
“Dalam tempoh berehat sebelum ini, saya gunakan masa yang ada untuk bersama-sama keluarga di kampung selain bekerja sendiri. Ada juga saya membantu bapa mengangkat buah kelapa sawit,” katanya dalam sidang media secara maya pada Isnin.
Pada masa sama, Khairul Idham berkata, dia akan tetap menggunakan nombor 89 pada jenteranya dalam penampilan di pentas MSBK musim ini.
“Insya-ALLAH, saya akan cuba berikan yang terbaik. Saya pun tak ada apa-apa sasaran yang khusus kerana saya cuma nak enjoy untuk ride dan berlumba semula. Saya pun tak pasti apakah saya akan terus menyertai Pusingan 2 MSBK nanti,” jelasnya.
Untuk rekod, pelumba berusia 23 tahun itu menyertai Petronas Sepang Racing Team (SRT) pada 2019 untuk bersaing dalam Moto2 sebelum erentap bagi kelas Moto3 setahun kemudian.
Bagaimanapun, kontrak Khairul Idham dengan Petronas SRT tidak disambung bagi musim 2021 dengan menyaksikan Grand Prix (GP) Portugal di Litar Algarve, Portimao menjadi perlumbaan terakhir buatnya.
Sebelum itu, Khairul Idham telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila muncul juara Moto3 di Argentina dan Jerman pada 2016 ketika mewakili pasukan Honda Team Asia.
Pusingan 1 MSBK 2021 dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 15 hingga 17 Oktober ini. Pusingan 2 pula akan membuka tirai dari 29 hingga 31 Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!