Balik Kelantan tidak lengkap dos, individu diarah patah balik

No Image Caption
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang individu yang memandu kenderaan dari luar Kelantan diarahkan berpatah balik pada hari pertama pembukaan sempadan negeri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, individu yang turut membawa ahli keluarga itu diarahkan berbuat demikian di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Terengganu-Kelantan, di Bukit Yong, di sini hari ini, selepas polis mendapati dirinya tidak lengkap dos vaksinasi.

"Di SJR Bukit Yong, telah dikesan mereka yang tidak lengkap dua dos vaksin. (Baru terima) satu dos sudah cuba nak balik (masuk ke Kelantan) dan kita arahkan supaya berpatah balik.

“Kita juga tubuhkan 154 pasukan pemantau di seluruh Kelantan bagi memantau pusat rekreasi restoran dan awam lain. Harapan saya kepada orang ramai adalah supaya patuh pada ketetapan yang dibuat kerajaan,” ujar beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau SJR Bukit Yong petang tadi, beliau menjelaskan berlaku peningkatan masuk kenderaan dari luar Kelantan menjelang petang tadi sehingga mencapai 20 peratus.

Aliran pengguna jalan raya itu membabitkan laluan masuk di Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Beliau turut memaklumkan, sejumlah 540 anggota polis Kelantan ditugaskan untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan, yang turut melibatkan anggota yang memakai pakaian biasa.

Kumpulan Pemantau Polis Kelantan ditubuh dan digerakkan pagi tadi bagi menghadapi kebanjiran kepulangan golongan perantau Kelantan. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!