Covid-19: Sabah benar kanak-kanak bawah 12 tahun makan di premis

Masidi
Masidi
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk makan di premis (dine-in) dan masuk ke premis perniagaan ditemani ibu bapa yang menerima dos lengkap vaksin Covid-19, berkuat kuasa pada Selasa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, premis perniagaan terlibat termasuk pusat membeli belah serta fasilti perhotelan, dan kanak-kanak juga dibenarkan menyertai aktiviti perkelahan serta perkemahan.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, remaja berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 turut diberi kebenaran yang sama.

"Penduduk diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin malam.

Sementara itu, beliau berkata, 69.9 peratus atau 1.92 juta penduduk dewasa dan 22 peratus atau 91,683 remaja telah menerima vaksin lengkap Covid-19 di negeri ini.

Katanya, sebanyak 532 kes Covid-19 direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif 206,048 kes, dan 1,623 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 193,445 orang manakala 2,402 pesakit masih dirawat.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!