Mencari titik noktah kes wira negara
KEPUTUSAN kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, merupakan berita gembira paling dinantikan oleh keluarga Allahyarham.
Penulis sendiri, termasuk rakyat Malaysia yang lain tidak terkecuali mahu melihat kesudahan kes kematian anggota bomba yang berasal dari Kedah itu terbela.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya pada Sabtu lalu berkata, mesyuarat jemaah menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kematian Muhammad Adib.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Tempoh enam bulan diberi kepada jawatankuasa itu bagi memperoleh dapatan dan solusi yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.
Menyorot kembali kisah Muhammad Adib, tanggal 27 November 2018 merupakan detik menyayat hati apabila Allahyarham yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Selangor diserang, dipukul hingga parah manakala jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar.
Ia berpunca daripada insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi.
Pasukan bomba yang dikerah untuk memadamkan kebakaran kenderaan yang tercetus di luar kuil itu menjadi mangsa amarah daripada puak yang membantah pemindahan tapak kuil tersebut. Muhammad Adib yang parah dikejarkan ke hospital dan selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Harap pembelaan sewajarnya
Bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, menyifatkan pengumuman penubuhan jawatankuasa khas untuk membela anaknya ibarat sinar baharu buat keluarganya.
Mohd Kassim pernah menzahirkan rasa kecewa kerana tiada maklum balas daripada pihak kerajaan walaupun pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam telah pun memutuskan kematian Muhammad Adib berpunca akibat perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua orang atau lebih individu yang tidak diketahui.
Pesawah dari Kampung Tebengau, Kuala Kedah itu turut menitipkan harapan agar siasatan kali ini dilakukan secara menyeluruh, telus dan dilakukan bersungguh-sungguh serta berharap akan ada keputusan menyebelahi Allahyarham kelak.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, usaha mewujudkan jawatankuasa khas itu sejajar hasrat dan cadangan JBPM supaya kes anggotanya dapat dirungkai dengan penuh tanggungjawab.
Dari kaca mata penulis, penubuhan jawatankuasa ini merupakan usaha berterusan Ismail Sabri yang ketika itu bergelar Ketua Pembangkang sebagai antara pihak yang lantang mencari keadilan untuk Muhammad Adib.
Tempoh enam bulan yang diberikan untuk menyiasat sekali gus merungkai jalan mencari siapa pembunuh Adib ke muka pengadilan akan menjadi kayu pengukur kepada kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.
Tugas itu diakui bukanya mudah, tetapi bukan juga sukar. Tinggal sekarang, jawatankuasa yang dibentuk ini memerlukan penilaian teliti, telus dari segenap aspek serta pihak-pihak berkaitan agar dapat menyegerakan siasatan terhadap pelaku terlibat dan mengheret mereka ke muka pengadilan.
Rakyat menanti, siapa dan bilakah pembunuh Muhammad Adib dibawa ke mahkamah? Sama-sama kita berdoa agar segalanya berjalan lancar serta dipermudahkan.
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!