Anak aktor Luke Perry luah rasa terharu
ANAK mendiang aktor Luke Perry, Sophie Perry, akhirnya bersuara untuk kali pertama sejak pemergian bapanya di Instagram miliknya.
Perry yang mula dikenali ramai menerusi drama televisyen popular, ‘Beverly Hills 90210’ meninggal dunia pada Isnin pada usia 52 tahun selepas diserang angin ahmar teruk minggu lalu.
Menerusi laporan Reuters, Pegawai publisiti Perry, Arnold Robinson berkata, aktor itu meninggal dunia di hospital di Los Angeles di sisi keluarga dan rakan rapatnya, termasuk bekas isteri Minnie Sharp, dua anak dan tunangnya, Wendy Madison Bauer.
Mendiang dikejarkan ke hospital di Los Angeles Rabu lalu selepas diserang angin ahmar, menurut laman web selebriti, TMZ.com, minggu lalu.
Menurut TMZ, Perry tidak sedarkan diri sejak itu.
Pelakon berkenaan jatuh sakit pada hari sama saluran televisyen Fox mengumumkan ia akan menghasilkan semula siri ‘Beverly Hills 90210’ dengan ramai pelakon asal termasuk Jason Priestley, Jennie Garth dan Tori Spelling akan terlibat.
Sophie dalam hantarannya mengucapkan terima kasih dengan sokongan yang diberikan untuknya dan keluarga dalam menghadapi rasa kehilangan mereka.
"Banyak yang telah berlaku kepada saya pada minggu lalu. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas.
"Namun, saya berjaya kembali dari Malawi tepat pada waktunya untuk berada di sini bersama keluargaku dan dalam masa 24 jam yang lalu saya telah menerima banyak ucapan cinta dan sokongan.
"Saya tidak boleh menjawab secara terperinci kepada ratusan mesej yang indah dan tulus, tetapi saya melihatnya, dan menghargai anda semua kerana menghantar mesej positif kepada keluarga saya dan saya," tulisnya.
Beberapa hari sebelum ayahnya meninggal, Sophie berada di Malawi, di mana dia menjadi sukarelawan untuk beberapa komuniti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!