Kilang makanan lepas sisa basuhan berminyak tidak terawat
SHAH ALAM - Sebuah kilang berasaskan makanan dikesan melepaskan air sisa basuhan berminyak tidak terawat ke longkang awam pada Isnin.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai loji rawatan air sisa.
"Air dilepaskan akibat kegagalan perangkap minyak dan limpahan air dari tangki septik yang tidak dapat menampung jumlah air basuhan," kata kenyataan itu menerusi Facebook JAS di sini pada Selasa.
Justeru, menurut JAS, kilang terbabit dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
JAS memberitahu, premis itu diarahkan melakukan pembersihan longkang yang tercemar serta-merta.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!