Bangunan kedai lama di Kimanis runtuh
PAPAR - Sebuah bangunan kedai lama di Pekan Kimanis, di sini roboh akibat angin kencang dalam kejadian awal pagi Selasa.
Difahamkan, kedai lima pintu yang berusia lebih 70 tahun itu sudah tidak digunakan kerana struktur bangunan yang usang.
Seorang penduduk, Billy Tan, 31, memaklumkan hujan lebat berterusan disusuli angin kencang sejak jam 4 pagi menyebabkan berlaku runtuhan bangunan di kawasan berkenaan.
Katanya, bangunan itu disedari roboh kira-kira jam 6.30 pagi ketika dia dalam perjalanan menuju ke Pekan Kimanis dan terkandas akibat runtuhan berkenaan.
"Saya terpaksa menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Kami terkandas hampir satu jam sebelum laluan itu dibersihkan dan dapat digunakan penduduk untuk keluar menuju ke jalan utama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.51 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Kimanis dikejarkan ke lokasi.
Bagaimanapun katanya, kejadian tidak membabitkan mangsa dan bomba melakukan pemindahan serpihan kayu bangunan yang menutup laluan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!