Lima peratus kakitangan YIK masih belum vaksin
KOTA BHARU - Sebanyak lima peratus daripada 2,600 kakitangan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) masih belum menerima vaksinasi Covid-19 sehingga Selasa.
Timbalan Pengarah Pengurusan YIK, Shamsul Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut, sekurang-kurangnya 135 orang kakitangan badan berkenaan masih belum menerima vaksinasi mereka.
Beliau berkata, sebelum ini mereka sudah melakukan pertemuan dengan pengetua dan mudir dan kali kedua pula akan mendengar luahan dan menasihati mereka supaya memahami kepentingan vaksinasi.
"Sebelum ini mereka yang tidak mahu vaksin itu terlibat dengan beberapa masalah kesihatan. Insya-ALLAH kita menyasarkan November ini semua sudah divaksin," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 30 sofa terpakai milik Hotel The Grand Renai dalam satu majlis ringkas di sini.
Turut hadir, Pengurus hotel, Amer Ahmad.
Mengulas mengenai vaksinasi pelajar, Shamsul berkata, ia berjalan dengan baik dan peratusan yang menolak vaksinasi Covid-19 sangat terpencil.
Tambah beliau, daripada kajian awal pihaknya, pelajar menolak vaksinasi kerana terpengaruh dengan pandangan dan pemikiran ibu bapa mereka yang juga tidak mahu mengambil vaksinasi.
"Apa pun kita harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan semua pelajar dan kakitangan menerima vaksin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!