Ramai salah anggap maklum balas Hamilton
PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton menegaskan maklum balas dalam nada keras yang diberikannya ketika sesi temu bual dengan stesen radio tempatan telah disalah anggap oleh banyak pihak.
Menurut Hamilton, dia sebenarnya berkata sedemikian, berdasarkan kepada situasi ketika itu selain ‘bergurau’ berhubung kedudukan pelumba lain pada perlumbaan berkenaan.
“Sebenarnya, ketika menerima arahan berkenaan, saya berada pada kedudukan ketiga dan berpeluang menamatkan perlumbaan berkenaan pada kedudukan podium.
“Jangan sesekali menganggap saya akan sentiasa bersopan dan bertenang ketika ke udara di mana-mana radio. Ini kerana, ketika berlumba saya dan pelumba lain begitu bersemangat.
“Apa pun, jiwa dan semangat saya tetap membara dan saya sudah tidak sabar untuk berlumba pada GP akan datang,” katanya menerusi laman Instagram miliknya pada Selasa.
Untuk rekod, Hamilton menamatkan perlumbaan pada GP Turki itu pada kedudukan kelima dengan catatan masa satu jam 31 minit 41.812 saat di belakang pelumba Red Bull, Valtteri Bottas yang mencatatkan masa satu jam 31 minit 04.103 saat.
Keadaan itu bagaimanapun menyaksikan Hamilton meraih 256.5 mata dan hanya dipisahkan dengan enam mata dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen yang meraih 262.5 mata setakat ini.
Sementara itu Hamilton berkata, dia kini bersedia untuk mengharungi perlumbaan di GP Bahrain paa 29 Oktober depan di Litar Antarabangsa Bahrain.
Katanya, dia juga perlu memastikan jenteranya sentiasa dalam keadaan yang memuaskan bagi mengharungi perlumbaan berkenaan kelak.
“Sebagai sebuah pasukan, kami perlu terus bekerja keras dan merancang strategi terbaik bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!