KTMB tambah tren, diskaun untuk 10,000 penumpang terawal

KTMB akan menambah jumlah perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar bermula Khamis ini. - Foto 123RF
KTMB akan menambah jumlah perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar bermula Khamis ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah jumlah perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar bermula Khamis ini sebagai persediaan menerima pelancong berikutan pengumuman kebenaran rentas negeri yang bermula Isnin.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha dalam kenyataan pada Selasa berkata, jualan tiket akan bermula jam 3 petang ini untuk perjalanan hingga Disember dan diskaun sebanyak RM5 akan ditawarkan untuk 10,000 penumpang terawal bagi pembelian tiket berharga lebih RM40 menggunakan kod promo BOLEHRENTAS bermula 14 hingga 24 Oktober ini.

“Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 12 servis setiap hari berbanding dua pada ketika ini. Laluannya meliputi sektor Gemas-Padang Besar, KL Sentral-Ipoh, Gemas-Butterworth dan sebaliknya.

“Empat perkhidmatan Ekspres Selatan di sektor Gemas-Johor Bahru Sentral dan dua perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran di sektor Tumpat-Johor Bahru Sentral akan beroperasi setiap hari, setelah digantung sementara operasinya semenjak pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.

Beliau berkata, Shuttle Timuran di sektor Kuala Lipis ke Tumpat kekal beroperasi dengan 10 perkhidmatan.

Sementara itu, berkaitan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), KTMB akan memastikan hanya penumpang yang lengkap divaksin dibenarkan menaiki tren dengan mempamerkan sijil digital melalui aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi Covid-19 sebagai bukti.

Bagi memudahkan perjalanan, beliau menyarankan penumpang untuk berada di stesen sekurang-kurangnya satu jam lebih awal dan membeli tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman web KTMB bagi mengurangkan interaksi antara orang ramai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!