Pelakon, pengarah mengaku miliki dadah

Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pelakon bersama pengarah dan penolong pengarah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Selasa atas tuduhan memiliki dadah.

Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 29, Mohd Latif Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 43, tiba di bangunan mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari dengan pakaian lokap polis berwarna ungu.

Mengikut pertuduhan, kejadian berlaku pada 10 Oktober 2021 jam 7.15 pagi di sebuah rumah di No 835, Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, di sini.

Muhamad Niezam dituduh memiliki 1.15 gram dadah berbahaya jenis kanabis yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Latif turut dituduh atas kesalahan sama kerana memiliki 0.3 gram dadah berbahaya jenis kanabis di bawah seksyen sama.

Tertuduh ketiga, Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.38 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi meminta jaminan sebanyak RM6,000 bagi tertuduh pertama dan kedua manakala RM8,000 bagi tertuduh ketiga.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili kesemua tertuduh meminta jaminan yang lebih rendah ditawarkan.

Intan Shafini memberi alasan pengurangan jaminan tersebut disebabkan ketiga-tiga mereka baru sahaja memulakan penggambaran pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM3,000, RM2,600 dan RM3,2000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!