Aktivis tidak mengaku buat hantaran jelik terhadap Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor (Pemas), S Dayalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook, Mei lalu.
Dayalan, 41, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan, Dayalan yang juga aktivis media sosial didakwa secara sedar melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan Facebook atas nama profil 'Dayalan Sreebalan' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada jam 10.03 malam, 30 Mei lalu.
Ia dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada jam 7.15 malam, 2 Jun lalu.
Atas pertuduhan itu dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam M Dinesh yang mewakili OKS, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk dua anaknya yang berusia 10 dan satu tahun.
"Anak guam saya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan, menunjukkan beliau adalah seorang individu yang akan hadir ke mahkamah setiap kali dipanggil," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Edwin Paramjothy membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!