Jualan sektor pembuatan meningkat 6.8 peratus pada Ogos
SHAH ALAM - Jualan sektor pembuatan pada Ogos 2021 meningkat sebanyak 6.8 peratus dengan nilai RM126.5 bilion berbanding bulan yang sama tahun 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan tersebut meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding bulan sebelumnya yang turut dipengaruhi oleh pembukaan sektor ekonomi lebih luas seiring peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pertumbuhan nilai jualan bulan ini dipacu subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik iaitu sebanyak 31.4 peratus terutama dalam industri pembuatan kok serta produk petroleum bertapis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, pengembangan itu juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau sebanyak 7 peratus yang disokong industri pembuatan produk makanan serta subsektor produk elektrik dan elektronik iaitu 6.9 peratus terutama membabitkan industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada Ogos 2021 ialah seramai 2,213,715 orang iaitu meningkat satu peratus berbanding 2,190,787 orang pada Ogos 2020.
Menurutnya, peningkatan itu disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik sebanyak 4.3 peratus dan produk petroleum, kimia, getah serta plastik sebanyak 1.8 peratus.
“Jumlah gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM7,230.1 juta, meningkat 1.7 peratus atau RM117.5 juta pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Selain itu, nilai jualan per pekerja meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM57,160 berbanding bulan yang sama tahun 2020 (Ogos 2020: RM54,066).
“Purata gaji dan upah setiap pekerja pula ialah sebanyak RM3,266 pada Ogos 2021,” katanya.
Sementara itu, tambah Mohd Uzir, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, nilai jualan sektor pembuatan bertambah 15.5 peratus kepada RM992.4 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2020.
Katanya, bilangan pekerja dan gaji serta upah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak satu peratus dan 2.3 peratus dengan jumlah 2.21 juta orang dan RM59.2 bilion.
“Nilai jualan per pekerja bagi lapan bulan pertama tahun 2021 turut bertumbuh 14.3 peratus kepada RM448,314,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!