Kami bukan robot..

Thibaut Courtois
Thibaut Courtois
A
A
A

PENJAGA gol Belgium, Thibaut Courtois mengkritik tindakan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kepadatan penjadualan perlawanan yang disifatkan mengabaikan kebajikan pemain.

"Kami bukan robot. Jadual perlawanan semakin bertambah dan bertambah serta padat manakala tempoh untuk rehat bagi pemain-pemain pula semakin singkat.

"Malangnya tiada siapa yang mengambil berat perkara ini. Adakah kami akan mendapat kembali masa rehat yang cukup seperti sebelum ini? Saya percaya tidak sama sekali," kata penjaga gol Real Madrid itu.

Courtois sebelum itu beraksi menentang Itali bagi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Liga Negara-Negara UEFA yang menyaksikan The Red Devils sekali lagi terpaksa akur keunggulan The Azzurri apabila tewas 2-1.

Kalendar bola sepak antarabangsa berdepan jadual yang padat tanpa pengurangan perlawanan dalam tempoh 18 bulan terakhir berikutan pandemik Covid-19, bermula dengan Liga Juara-Juara, Liga Europa selain beberapa kejuaraan benua lain musim lalu.

Ia kemudian diikuti kejuaraan Euro 2020 dan Copa Amerika 2021 juga berlangsung serentak sebelum bermulanya saingan domestik serta kejuaraan kelab Eropah musim baharu.

Edisi Piala Dunia Qatar 2022 dijangka berlangsung antara November dan Disember - pada pertengahan musim baharu kelab - manakala kejuaraan pusingan akhir Liga Negara-Negara UEFA pula dijangka berlangsung pada Jun 2023.

"Piala Dunia dijangka berlangsung pada November, bermakna kami pemain terpaksa beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi bersama kelab bermula pada Jun.

Artikel Berkaitan:

"Situasi ini secara tidak langsung mendedahkan pemain-pemain utama kepada masalah kecederaan berpanjangan. Jadi perkara ini sewajarnya diberikan perhatian pihak bertanggungjawab," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!