TNB sokong agenda perubahan iklim, teknologi hijau
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong penuh pendirian kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim dan teknologi hijau negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, dalam mendukung usaha menyeluruh meminimumkan kesan peningkatan pelepasan gas rumah kaca ekoran aktiviti manusia, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik nasional telah mengambil tindakan proaktif pada Ogos lalu dengan mengumumkan hala tuju kelestariannya.
“Di bawah hala tuju ini, kami telah menetapkan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
“Hasrat ini dipacu komitmen mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus dan pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga menerusi arang batu menjelang 2035,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, ia adalah pelan strategik rendah karbon untuk menyumbang kepada kehidupan yang lebih sejahtera sejajar komitmen masyarakat dunia melindungi bumi dengan memastikan semua orang menikmati kesejahteraan.
Hasan berkata, inisiatif TNB ini menepati agenda perubahan iklim dan teknologi hijau kerajaan Malaysia yang bakal dibentangkan pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November depan.
Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din menjelaskan, TNB juga nekad memastikan pendapatan daripada loji arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatannya.
“Pada awal tahun ini pula, kami telah menyatakan komitmen untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Stesen Janakuasa Jimah East Power di Port Dickson, yang mula beroperasi pada 2019.
“Sebagai langkah tambahan, TNB juga akan meningkatkan peruntukan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan tenaga boleh baharu (RE) selain usaha sedia ada dalam aktiviti perniagaan RE,” katanya.
Jelas Baharin, TNB giat meneraju peralihan tenaga dengan mengutamakan kecekapan tenaga dan teknologi tenaga bersih termasuk menambah aset RE di dalam dan luar negara serta infrastruktur berkaitan seperti kestabilan grid dan meningkatkan digitalisasi.
“Kami akan bekerja dengan pihak kerajaan dan semua pihak yang berkaitan sebagai satu tindakan bersama ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!