Rentas negeri: JSPT pantau, pertingkat penguatkuasaan

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan rapi bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar susulan pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, ia akan ditingkatkan mulai Jumaat ini, apabila trafik dijangka sibuk susulan pertambahan pergerakan kenderaan yang ketara di jalan raya berikutan orang ramai dijangka mengambil cuti selama empat hari sempena Maulidur Rasul.

Beliau berkata, penugasan penguatkuasaan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 dan rondaan pasukan pemantau pula akan ditingkatkan.

"JSPT kembali kepada (penugasan) normal. Dahulu kami banyak bertugas di sekatan jalan raya (SJR) namun SJR telah tiada dan semua pegawai dan anggota trafik kembali kepada penugasan (yang asal).

"(Hari ini jumlah kenderaan) bertambah namun keadaan masih lagi terkawal (dan) tiada sebarang laporan mengenai kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Cuma kita bersedia dengan melakukan rondaan," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Mohd Nadzri berkata, JSPT turut melaksanakan Op Lancar di seluruh negara bermula Selasa bagi memastikan kelancaran aliran trafik susulan kebenaran rentas negeri oleh kerajaan.

Beliau berkata, operasi itu dilancarkan sehingga Isnin depan berikutan pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

"Op Lancar bermula hari ini untuk memantau daripada segi kelancaran pergerakan aliran trafik jika berlaku sebarang peningkatan, tetapi setakat ini masih terkawal lagi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!