Wartawan sambilan meninggal dunia ketika bertugas
GUA MUSANG – Seorang wartawan sambilan, Che Ramli Ibrahim, 62, meninggal dunia selepas dipercayai pengsan di dalam sebuah kenderaan sewaktu dalam perjalanan dari lokasi tugasan di Kampung Pulai di sini.
Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Shahnon Haniff Abdullah Suhaimi ketika dihubungi memberitahu, Che Ramli didakwa tidak sedarkan diri sekitar jam pukul 3 petang selepas selesai melaksanakan tugasan di kawasan berkenaan.
"Saya dimaklumkan oleh rakan arwah mengenai pemergian arwah. Arwah sebelum itu dikatakan mengalami pening kepala dan muntah.
“Ketika dalam perjalanan pulang dari tugasan di kebun, arwah difahamkan menumpang kenderaan milik seorang pekebun namun tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri. Arwah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, sebelum keluar untuk melunaskan tugasan berkenaan, arwah dikatakan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan serius.
Namun, keluarga arwah memaklumkan bahawa arwah cuma menghidap diabetes dan hipertensi sejak beberapa tahun lalu.
"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga selepas Isyak.
"Saya sebagai wakil Kemudi mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan kepada seluruh ahli Kemudi yang lain, jaga diri sepanjang melakukan tugasan harian," katanya.
Che Ramli yang berasal dari Gua Musang sudah berkhidmat di pelbagai agensi media sebagai wartawan sambilan sejak dua dekad lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!