JPJ tingkat penguatkuasaan kenderaan awam

Selain sekatan jalan raya, JPJ Perlis akan menempatkan anggota di terminal atau stesen bas untuk menyemak status vaksinasi pemandu dan penumpang kenderaan. - Foto Bernama
Selain sekatan jalan raya, JPJ Perlis akan menempatkan anggota di terminal atau stesen bas untuk menyemak status vaksinasi pemandu dan penumpang kenderaan. - Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan awam di negeri ini bagi mengelakkan mereka yang tidak lengkap vaksin Covid-19 merentas negeri.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Ali Piah berkata, pihaknya akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas pemandu dan penumpang kenderaan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres serta teksi.

"Selain 'snap cheak' atau sekatan jalan raya (SJR), kita akan melakukan penguatkuasaan dengan menempatkan anggota di terminal atau stesen bas untuk menyemak status vaksinasi pemandu dan penumpang kenderaan.

"Kita akan memastikan kesemua pemandu dan penumpang kenderaan awam lengkap dua dos vaksin Covid-19," katanya kepada pemberita selepas meninjau Operasi Bersepadu JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Kangar-Padang Besar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil bagi memastikan tiada individu yang tidak lengkap vaksinasi keluar daripada Perlis menggunakan kenderaan awam.

Beliau berkata, penumpang atau pemandu yang dikesan tidak lengkap vaksinasi akan diarahkan turun dari kenderaan.

"Kita akan semak dan sekiranya pegawai ditempatkan di stesen mendapati ada yang belum lengkap vaksin, maka individu terlibat tidak akan dibenarkan menaiki bas untuk rentas negeri," katanya.

Beliau berkata, individu ingkar arahan tersebut akan dikenakan tindakan kompaun.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kesalahan tidak memiliki cukai jalan atau lesen memandu antara paling kerap dikesan dalam operasi dilaksanakan JPJ.

"Sebanyak 10 kes tiada lesen memandu yang dikesan dalam operasi pada Selasa," katanya.

Sehubungan itu, Fatimah turut menasihatkan orang awam supaya tidak menangguhkan proses memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu masing-masing.

Tambah beliau, JPJ Perlis telah mengeluarkan sebanyak 17 notis saman bagi kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah sepanjang Ops Merah di Kangar dan Arau sejak 28 September lepas.

"Kita juga menahan tiga warga asing atas kesalahan memandu lori tanpa lesen dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans dalam operasi itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!