Kedai buku tertua di Melaka bakal ditutup

A
A
A

MELAKA - Sebuah kedai buku yang popular di negeri ini sejak lebih 70 tahun, Thai Kuang Sdn Bhd bakal menamatkan operasi pada Jumaat ini.

Kedai buku tiga tingkat yang terletak di Jalan Gajah Berang itu terpaksa ditutup bukan kerana pandemik Covid-19 namun disebabkan pemiliknya ingin bersara selain tiada penyambung legasi.

Maria Ng Abdullah, 75, berkata, sudah cukup tempoh untuk dia berkorban masa dan tenaga demi sebuah kedai buku dan dalam keadaan yang berusia ini adalah lebih baik dia berehat bersama keluarga tersayang.

Menurut Maria, ketiga-tiga anaknya pula menetap di luar negara dan walaupun berat hati namun terpaksa membuat keputusan itu memandangkan kedai buku itu tercetus hasil usaha mendiang bapanya, Ng Yook Chee, hampir 74 tahun lalu.

Maria menunjukkan sebahagian buku yang dijual dikedainya yang terletak di Jalan Gajah Berang.
Maria menunjukkan sebahagian buku yang dijual dikedainya yang terletak di Jalan Gajah Berang.

"Dalam keadaan usia menjangkau 75 tahun saya tidak sekuat dulu untuk mengusahakan kedai buku ini lagi, jadi jalan terbaik adalah tutup selamanya kedai buku Thai Kuang.

"Saya rasa inilah masa berharga untuk bersama anak dan cucu dan kami berterima kasih atas sokongan orang Melaka selama ini," katanya.

Jelasnya, keputusan yang dibuat itu bertepatan apabila kedai buku tidak lagi menjadi pilihan utama kerana pada zaman ini orang ramai lebih gemar membeli buku secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak 15 tahun lalu dia telah merasa sedikit terkesan sehinggakan jualan buku semakin menurun saban tahun selepas kebanyakan jualan buku mula dijual menggunakan medium dalam talian.

"Malah kos berniaga dan belanja juga semakin lama semakin naik dan keuntungan hasil jualan buku juga tidak banyak mana.

"Sebelum ini kita ada cawangan di Mahkota Parade, namun selepas 18 tahun bertapak, terpaksa tutup sekitar 2013 kerana kadar sewanya semakin lama semakin mahal dan tidak berbaloi," katanya.

Mengulas lanjut Maria berkata, pendaftaran syarikat itu dibuat pada Januari 1948 dan operasi kedai bermula di Segamat Johor pada tahun yang sama sebelum mereka sekeluarga berpindah ke Melaka.

Menurutnya, sejarah nama kedai itu diambil bapanya yang bermaksud cahaya terang.

Ujarnya, ramai pelanggan yang menyatakan kesedihan kerana kedai buku ini akan ditutup namun sebagai pemilik apa yang boleh dilakukan apatah lagi kebanyakan pekerjanya juga telah berusia 60 tahun.

"Mungkin pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan serta harga buku dan alat tulis yang berpatutan menjadikan kedai buku tertua di Melaka ini menjadi pilihan mereka sehingga tiga generasi penduduk di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Maria turut memaklumkan bahawa kedai bukunya dalam proses menghabiskan semua stok yang ada dengan menawarkan diskaun sehingga 80 peratus sebelum ditutup buat selamanya Jumaat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!