Jangan sisih de Paula

Prestasi hambar de Paula (kanan) sejak menyarung jersi Harimau Malaya mendapat kritikan hebat penyokong dan pengkritik bola sepak tempatan.
Prestasi hambar de Paula (kanan) sejak menyarung jersi Harimau Malaya mendapat kritikan hebat penyokong dan pengkritik bola sepak tempatan.
A
A
A

TRIO naturalisasi - Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula perlu dipanggil untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi Piala Suzuki AFF 2020.

Menurut legenda bola sepak negara, Khalid Ali, penampilan ketiga-tiga pemain berkenaan mampu menambah variasi dalam corak permainan Harimau Malaya apabila beraksi di Singapura nanti.

Malah, beliau memberitahu, setiap pemain berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri dalam posisi masing-masing sekiranya keupayaan mereka dapat digunakan sebaik mungkin.

“Saya tahu ramai penyokong yang tidak berpuas hati dengan prestasi de Paula. Tetapi saya percaya dia masih memberi sumbangan kepada pasukan negara pada Piala Suzuki.

“Bagi saya, baik Sumareh, Liridon mahupun de Paula, mereka memang wajar dipanggil membantu pasukan negara. Ketiga-tiga pemain itu kini rakyat Malaysia dan mereka seharusnya membantu pasukan negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, mereka bertanggungjawab untuk beraksi dan membantu pasukan negara sama ada dalam persahabatan atau mana-mana kejohanan yang disertai.

Artikel Berkaitan:

KHALID
KHALID

“Mereka juga seharusnya menyahut panggilan untuk mewakili pasukan negara jika dipanggil. Itulah sebabnya mereka diambil sebagai pemain naturalisasi yang bertujuan untuk memperkuatkan pasukan negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Dalam aksi persahabatan di Amman, Jordan baru-baru ini, de Paula menjadi satu-satunya pemain naturalisasi yang dipanggil pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk berdepan Jordan dan Uzbekistan.

Namun, prestasi de Paula sekali lagi menjadi bahan perbualan hangat peminat dan pemerhati bola sepak tempatan yang menganggap dia sekadar ‘penumpang’.

Sebelum itu, de Paula turut dikecam susulan prestasi hambarnya dalam baki tiga perlawanan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, pada Jun lalu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, segala-galanya kini terpulang kepada Cheng Hoe sama ada mahu menyenaraikan pemain naturalisasi termasuk de Paula bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

“Coach Tan harus bijak dalam menangani situasi yang berlaku ini. Jangan terlalu memikirkan apa yang diperkatakan oleh pihak di luar sana kerana beliau lebih arif dalam pasukan negara.

“Beliau masih mempunyai masa untuk memilih pemain yang benar-benar mampu memberikan sumbangan kepada pasukan negara. Sebaiknya biarlah beliau menilai dulu kemampuan setiap pemain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!