Shah Rukh Khan dan Anakku Sazali
MERAK Jalanan faham perasaan seorang bapa seperti Shah Rukh Khan apabila anaknya ditahan atas kesalahan dadah di Mumbai, India minggu lalu.
Penahanan Aryan Khan, 23, menyebabkan Raja Bollywood itu kecewa dan berasa tidak berdaya sebagai seorang bapa untuk menolong anaknya, yang dihantar ke penjara selepas permohonan jaminan terhadap dirinya ditolak.
Menurut sahabat baik Shah Rukh, pelakon itu mengalami tekanan dan tidak tidur mahupun makan sejak anak lelakinya ditangkap dan ditahan di penjara.
Setahu Merak Jalanan, hero filem Kuch Kuch Hota Hai tersebut memang dikenali sebagai seorang yang sangat sayangkan keluarga terutama isteri dan anak-anaknya.
Di Instagramnya sendiri, Shah Rukh Khan sering berkongsi foto isteri dan anak-anak dengan kapsyen yang menunjukkan dirinya seorang bapa yang penyayang.
Oleh itu, tak hairanlah apabila Shah Rukh sanggup mengupah peguam terkenal dan termahal di Bollywood, Satish Maneshinde.
Bagaimanapun, bukan semua orang bersimpati.
Ada juga netizen yang berpendapat Shah Rukh patut lebih bimbangkan anaknya terlibat dalam penagihan dadah berbanding kehidupan yang tidak selesa di penjara.
Ada beberapa jenis bapa yang Merak Jalanan perhatikan kebelakangan ini.
Ada bapa kudung tangan tergamak merogol anak kandungnya yang merupakan orang kelainan upaya.
Ada pula ibu bapa sanggup memukul anak sampai cedera parah.
Sebenarnya, jumlah bapa durjana ini tidaklah begitu ramai berbanding bapa penyayang seperti Shah Rukh Khan.
Cuma Merak Jalanan berharap ibu bapa jangan sampai terlalu memanjakan sampai merosakkan anak.
Cukuplah Anakku Sazali menjadi teladan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!