'Kami dengar suara Pak Wan minta tolong'

Wan Mohizan (kanan) berbual dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff. - Foto Facebook Muhammad Fauzi
Wan Mohizan (kanan) berbual dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff. - Foto Facebook Muhammad Fauzi
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang pada Selasa selepas bot dinaikinya terbalik dipukul ombak ditemui selamat oleh rakannya pada awal pagi Rabu.

Mangsa, Wan Mohizan Wan Hussein berusia 55 tahun yang juga bekas jurukamera sebuah akhbar berbahasa Inggeris ditemui berada di atas botnya yang terbalik ketika diselamatkan rakannya, Abdul Samad Hashim, 61, kira-kira jam 4 pagi.

Menurut Abdul Samad, dia dan seorang lagi rakannya, Kamaruddin Kassim turun ke laut pada jam 10.30 malam pada Selasa dan terdengar suara meminta tolong kira-kira jam 2 pagi.

"Sebelum turun ke laut, dia dan rakan sudah mengetahui kejadian yang menimpa Wan Mohizan atau lebih mesra disapa Pak Wan.

"Ketika ditemui, dia berada di atas 'perut bot' nya yang terbalik kerana dipukul ombak besar. Syukur dia memakai jaket keselamatan ketika kejadian," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah Abdul Samad, dia dan rakannya terdengar suara orang meminta tolong ketika sedang menarik pukat kira-kira jam 2 pagi.

"Kami memang keluar ke laut untuk menangkap ikan namun tidak sangka terjumpa dengan Pak Wan. Cuaca pada malam tadi elok dan air juga tenang. Ketika saya dan rakan sedang menarik (karau) pukat, kami terdengar suara orang meminta tolong dan juga cahaya lampu suluh.

"Jarak antara kami dengan cahaya itu kira-kira 100 hingga 200 meter. Saya menjerit semula ke arah suara ini bertanyakan sama ada ia adalah Pak Wan dan dia pun mengaku.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami tidak boleh terus menyelamatkannya kerana ketika itu sedang menarik pukat. Pukat kena tarik bagi habis dulu baru boleh bergerak. Saya minta dia tunggu sekejap dan kira-kira jam 4 pagi, baru kami berjaya menyelamatkannya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dia yang merupakan nelayan dari Pulau Betong berkata lagi, selepas selesai menarik pukat, dia dan rakannya membawa mangsa pulang ke Jeti Sungai Burung.

"Ketika ditemui, Pak Wan dalam keadaan selamat cuma kelihatan sedikit letih. Syukur dia sempat mengambil air minum yang dibawanya untuk diminum sepanjang terkandas di laut.

"Bagaimanapun, telefon bimbitnya tidak dapat diselamatkan menyebabkan dia tidak boleh menghubungi sesiapa untuk bantuan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Mohd Rozairi Abdul Rahim berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan pada jam 8.18 malam, Selasa.

Tambahnya, bomba menerima maklumat awam bahawa mangsa keluar ke laut kira-kira jam 3 petang dan masih belum pulang pada malamnya.

"Maklumat daripada nelayan setempat juga mendapati, tiada petunjuk mangsa atau bot di lokasi yang mangsa selalu keluar untuk menangkap ikan. Operasi mencari dan menyelamat dimulakan sejurus kami tiba di lokasi.

"Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.30 malam dan akan bersambung pagi Rabu. Bagaimanapun, pada jam 6.30 pagi, kita menerima panggilan daripada polis menyatakan mangsa sudah ditemui oleh nelayan tempatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!