Southgate enggan salahkan Kane, Sterling
PENGENDALI England, Gareth Southgate tidak mahu menunding jari kepada prestasi individu Harry Kane dan Raheem Sterling selepas pasukan itu hanya mampu seri 1-1 dengan Hungary dalam aksi Kumpulan I kelayakan Piala Dunia pada awal pagi Rabu.
Menurutnya, Kane dan Sterling tidak sepatutnya dipersalahkan walaupun jentera serangan England tampak hambar dalam perlawanan tersebut.
Malah, Southgate turut menolak kemungkinan bahawa prestasi hambar kedua-dua pemain itu berpunca daripada kurang minit bermain dan juga prestasi semasa di kelab masing-masing.
"Saya tidak rasa kami perlu melihat kepada prestasi individu kerana secara keseluruhannya kami tidak beraksi pada tahap yang sepatutnya.
"Apabila anda berada dalam situasi kurang baik, maka pemain juga sukar untuk menunjukkan kemampuan individu mereka," katanya.
Dalam perlawanan di Wembley itu, England terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol penalti Roland Sallai pada minit ke-24 sebelum John Stones menyamakan kedudukan pada minit ke-37.
Kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol kemenangan walaupun Sterling mempunyai dua percubaan terbaik yang dihalang penjaga gol Hungary, Peter Gulacsi.
Kelibat Kane juga dalam perlawanan itu tenggelam sekali gus menyaksikan dia berada pada prestasi kurang baik ekoran masalah di kelabnya.
England ketika ini masih belum mengesahkan tempat ke saingan Piala Dunia 2022 walaupun mendahului Kumpulan I dan diekori rapat oleh Poland dan Albania.
"Kami perlu ke perlawanan seterusnya dan bangkit. Kami tidak boleh menilai daripada satu perlawnaan sahaja, namun saya akui perlawanan ini bukan yang terbaik buat England," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!