Polis Kedah rampas heroin base bernilai hampir RM500,000

Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan antara barang rampasan ketika serbuan di keempat-empat lokasi di sekitar Sungai Petani pada Isnin.
Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan antara barang rampasan ketika serbuan di keempat-empat lokasi di sekitar Sungai Petani pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya merampas lebih lima kilogram dadah jenis heroin base bernilai hampir RM500,000 dalam empat serbuan berasingan di sekitar Sungai Petani pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan itu dibuat berdasarkan risikan rapi dan profesional oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Setar.

Katanya, dalam serbuan antara jam 4.40 hingga 4.45 petang itu, polis menahan lima lelaki berusia antara 21 hingga 36 tahun.

"Dalam serbuan pertama pada jam 4.40 petang, polis telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Vios di tepi jalan Taman Cindai Jaya dan menahan dua lelaki tempatan.

"Hasil pemeriksaan berjaya menemui empat ketulan mampat heroin base yang dibalut dengan plastik lut sinar dan kertas minyak seberat hampir tiga kilogram.

"Di bahagian but kereta terbabit turut ditemui kotak mengandungi satu bungkusan lut sinar berisi serbuk putih disyaki bahan kimia seberat 25,000 gram dan satu bungkusan aluminium foil berisi bahan kimia seberat 1,007 gram," katanya ketika program pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Rabu.

Menurut beliau, ekoran serbuan pertama, polis seterusnya menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah di Taman Raja dan menjumpai bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi tiga ketulan mampat berisi heroin base seberat lebih dua kilogram.

"Polis kemudiannya telah menahan dua lagi suspek di Taman Ria Jaya dan Taman Cindai Jaya yang disyaki turut terlibat dengan pengedaran dadah.

Artikel Berkaitan:

"Selain rampasan dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM74,800 yang ditemui dalam kesemua serbuan," katanya.

Kamarul Zaman menambah, siasatan yang dijalankan mendapati sindiket ini aktif sejak sebulan yang lalu dengan mengedar dadah untuk pasaran sekitar negeri-negeri di utara.

"Sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran ia dianggarkan dapat digunakan oleh satu juta penagih dadah," katanya.

Menurut beliau, hasil saringan urin mendapati kesemua suspek negatif dadah manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang turut melibatkan kes dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Oktober depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya telah membuat pelupusan barang kes dadah yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman bagi tahun 2014 hingga 2020 yang melibatkan pelbagai jenis dadah yang bernilai lebih RM2 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!