Kenangan terakhir Ramadan, Syawal di Pasar Payang
KUALA TERENGGANU - Peniaga di Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang yang bakal diroboh dan digantikan dengan pasar yang lebih moden dan selesa, melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang berniaga di bangunan berusia 51 tahun itu sehingga Jun ini.
Keputusan kerajaan negeri membenarkan peniaga meneruskan perniagaan sehingga ke tarikh berkenaan bukan sahaja membolehkan 800 peniaga mengurus proses perpindahan ke kawasan perniagaan sementara, sebaliknya memberi peluang terakhir kepada mereka berniaga pada bulan Ramadan dan Syawal di pasar berkenaan.
Kesempatan itu juga tidak disia-siakan segelintir peniaga yang bercadang menawarkan harga barangan lebih murah untuk menghabiskan stok sedia ada kerana ada dalam kalangan mereka diberi ruang berniaga yang lebih kecil berbanding tempat sedia ada.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff yang ditemui berkata, peniaga diminta berpindah secara berperingkat bermula 15 April merayu agar perpindahan itu ditangguhkan.
"Apabila ditangguhkan, dapatlah masing-masing meninggalkan pasar warisan yang penuh kenangan manis ini dengan senang hati. Kami anggap bangunan sejak 1968 ini bagaikan rumah sendiri malah ada yang bertemu jodoh di sini hingga kemudiannya anak-anak pula teruskan perniagaan," katanya di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata penangguhan itu dibuat setelah mengambil kira kesulitan yang dialami golongan tersebut apatah lagi mereka banyak memberi sumbangan terhadap sektor pelancongan dan sosio ekonomi Terengganu.
‘Wajah’ Pasar Payang yang menjadi ikon di negeri itu akan berubah untuk digantikan dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung berbanding dengan keadaan sekarang, yang ada antara sesetengah bahagian bangunan itu telah retak dan kotor.
Sebelum bangunan baharu siap dua tahun lagi, kesemua peniaga dipindahkan ke bangunan sementara kira-kira 80 meter dari bangunan asal dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah berjanji untuk memastikan kebajikan mereka terbela malah bangunan baharu yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu bakal menampilkan ciri-ciri seperti mana sedia ada.
Sementara itu, tinjauan di Pasar Payang mendapati rata-rata peniaga akur dengan keputusan kerajaan negeri supaya berpindah namun keputusan terbaharu memberi mereka peluang menghabiskan stok barangan jualan sepanjang Ramadan dan Syawal, melegakan lagi peniaga.
Seorang peniaga rempah tradisional warisan Terengganu, Mohamad Abd Rahman, 65, atau lebih dikenali sebagai Pok Leh berkata beliau mempunyai ramai pelanggan tetap memandangkan rempah yang dijual adalah resepi turun temurun dari istana pada zaman dahulu berikutan arwah ibunya, Che Zahrah Mohamad adalah salah seorang tukang masak ketika zaman Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
"Alhamdulillah, lega sangat apabila tahu kami boleh berpindah selepas raya nanti. Dapatlah kami berniaga di sini untuk saat terakhir," katanya yang mendapat keuntungan empat hingga lima kali ganda sepanjang musim perayaan tersebut.
Seorang lagi peniaga, Mustafa Abdullah, 66, berkata beliau gembira dengan penangguhan itu kerana mahu membuat jualan penghabisan stok bantal dan tilam kekabu serta pelbagai barangan dapur.
"Saya dimaklumkan keluasan kedai di bangunan sementara nanti agak sempit. Biasanya Ramadan dan Syawal ni, ramai orang Terengganu yang duduk di luar akan balik kampung dan membeli pelbagai barangan di pasar ini," katanya yang berniaga di Pasar Payang sejak lebih 40 tahun lalu.
Bagi peniaga sutera dan songket, Zuriawati Yusof, 40, pula beliau akan memanfaatkan tempoh penangguhan itu untuk berkemas dan menyusun atur ribuan kain dengan tenang dan selesa tanpa perlu tergesa-gesa.
"Biasanya musim bulan puasa dan raya, ramai orang akan datang membeli belah. Alhamdulillah, sempatlah kakak dan pekerja mengasingkan semua stok yang ada di kedai ini dengan lebih teliti sebelum berpindah nanti," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!