Kerjasama UMNO-Pas, kenapa DAP panas?
SHAH ALAM - Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan menepis kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa UMNO dan Pas mengisytihar perang terhadap golongan bukan Melayu.
Menurut Zahida, sama ada pemimpin UMNO mahupun Pas tiada sepatah pun yang menyebut isytihar perang terhadap bukan Melayu.
"Dua parti Islam-Melayu jalin kerjasama sesama pembangkang, kenapa DAP pula yang panas?
"Pada saya, kenyataan Lim Guan Eng seolah olah menghasut rakyat bukan Melayu untuk membenci perpaduan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Zahida turut mempersoalkan adakah DAP kini dalam ketakutan selepas dua parti tersebut sepakat menjalinkan kerjasama. Kenapa Lim Guan Eng melatah?
"Kalau dulu dia boleh kahwin dengan Pas, kenapa orang lain tak boleh?
"Relaks dan bawa bertenanglah Encik Lim. Apakah dia takut segala keburukannya semasa berumah tangga dulu terdedah?," perli Zahida.
Semalam UMNO dan Pas secara rasminya mengadakan pertemuan bersama bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama dua parti terbesar Melayu itu.
Mesyuarat perundingan yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu turut dihadiri barisan pimpinan kedua-dua parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!