Pengarah syarikat didenda miliki alat ganti, aksesori tiruan
SEREMBAN - Seorang pengarah syarikat didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan memiliki 4,528 unit alat ganti dan aksesori motosikal berjenama tiruan tahun lalu.
Hakim Diana Md Razali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, mengaku bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan sebanyak 4,528 unit alat ganti dan aksesori motosikal tiruan jenama Honda untuk tujuan perdagangan.
Perbuatan itu dilakukan pada 20 Januari 2020, jam lebih kurang 12.30 tengah hari di premis Viss Motor Parts Sdn Bhd di Galla Industrial Park, Jalan Labu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang dipakaikan atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang dipakaikan atau di penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Syazwani Zawawi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!