Korban ribut tropika Kompasu meningkat 13 orang, sembilan hilang
MANILA - Jumlah korban akibat ribut tropika Kompasu meningkat kepada 13 orang manakala sembilan yang lain hilang, lapor Xinhua.
Majlis Kawalan dan Pengurusan Risiko Bencana memaklumkan kebanyakan mangsa yang maut dilaporkan di utara Filipina dan di Palawan akibat tanah runtuh dan banjir.
Pada Selasa ribut tropika itu mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh menyaksikan hampir 2,000 penduduk dipindahkan.
Menurut majlis itu kawasan terjejas paling teruk adalah di wilayah utara Filipina terutamanya kawasan pertanian menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai AS$9.7 juta.
Kompasu yang mula mendarat pada Isnin adalah taufan tropika ke-13 membadai Filipina tahun ini.
Taufan dan ribut tropika kerap melanda gugusan pulau di Filipina telah meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Dianggarkan 20 taufan melanda negara Asia Tenggara itu setiap tahun dan kawasan terjejas paling teruk ialah utara Luzon serta timur Visayas. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!