Mesyuarat khas PRN Melaka Isnin depan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Isnin depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya memaklumkan, tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain- lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut menjadi agenda dalam mesyuarat yang tersebut.
"Mesyuarat akan bermula jam 10 pagi di sebuah hotel dan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh," katanya pada Rabu.
Pada 4 Oktober lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar selepas Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang sokongan, susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinannya.
Empat ADUN mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!