Perbelanjaan pembangunan negara tidak dikurangkan: Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan mengurangkan perbelanjaan untuk pembangunan negara yang dirancang sebelum ini walapun Malaysia kini sedang fokus menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembangunan berkenaan penting untuk kesan berganda kepada ekonomi negara.
"Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Dari sini, kerajaan telah mengumumkan projek-projek yang akan dapat dibangunkan dalam negara.
"Jadi Belanjawan 2022 dan RMK12 ini fokusnya masih lagi pada pembangunan negara. Jadi, jawapan pendeknya tidak.
"Ini kerana ia akan memberikan peluang pekerjaan dan sebagainya, jadi itu tidak boleh dikurangkan," katanya dalam program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat projek yang terpaksa ditangguhkan untuk menangani isu Covid-19 dan memulihkan ekonomi.
Program yang berlangsung kira-kira sejam di semua platform Sinar Harian itu dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!