Ustaz Somad OK, kita yang KO

A
A
A

BUKAN saya tidak setuju dengan Ustaz Somad, cuma sesetengah saranannya tidak berapa tepat. Bukan salah dia, tetapi salah kita sendiri.

Dalam satu ceramahnya di KL baru-baru ini pendakwah tersohor dari Indonesia itu telah ditanya: bagaimana caranya untuk membantu bisnes orang Melayu @ Islam?

“Beli di kedai Melayu,” demikian dia menyarankan. “Walau harganya mahal sedikit, tidak mengapa. Meski kualitinya kurang sikit, tidak mengapa.”

Ada logiknya cakap pendakwah berkenaan. Kalau semua orang Islam beralih ke kedai Melayu @Islam, pasti pasar raya dan kedai runcit milik kafir akan tutup kedai.

Sebenarnya lama sebelum pencerahan Ustaz Somad, saya telah menyedari logik ini, dan berazam sungguh-sungguh untuk membantu perniagaan orang Melayu.

Isteri dan anak-anak saya hendaklah berbelanja di kedai Melayu. Teman-taman surau saya minta mengutamakan kedai Melayu.

Rakan-rakan sepejabat, teman-teman di kelab, hatta orang-orang kampung, saya minta supaya menyokong bisnes sebangsa, seagama.

Tolonglah apa sahaja perniagaan Melayu/Islam – daripada penjual nasi lemak tepi jalan, penjual ikan di pasar malam, hingga outlet di kompleks beli-belah dan pasar raya mega.

Artikel Berkaitan:

Tidak kira menjual apam balik, jual durian raja musang, hatta pemamer tudung bawal atau kerongsang, kalau ada Melayu, sokong dan belilah yang Melayu punya.

Seperti yang dijelaskan oleh Ustaz Somad dalam ceramahnya: “Perniagaan orang Islam terjamin halal, terjamin bersih. Ini satu kelebihan.”

Secara peribadi, saya tidak kisah sangat sekiranya harga di kedai Melayu mahal sedikit dari kedai-kedai lain. Kalau setakat lebih 10 sen atau 20 sen, saya tetap pilih Melayu.

Malah, ada ketikanya walau lebih mahal RM10 atau RM20 – untuk barangan dan peralatan tertentu – saya masih bersedia membeli di tempat Melayu.

Kalau kualiti kurang sedikit pun, saya selalu pejam mata, demi Melayu. Ramai peniaga dan usahawan Melayu berkeupayaan untuk bersaing.

Tetapi ada beberapa perkara mengecewakan, yang akhirnya membuatkan ramai pelanggan sekaum, seagama – termasuk saya – lebih rela menolong perniagaan bukan Melayu.

Pertama: orang kita kurang dari segi layanan. Kita tidak mesra pelanggan.

Kerap saya masuk ke kedai Melayu, tuan punya atau petugas buat macam tidak nampak. Tidak ada yang memberi salam, tidak juga bertegur sapa dan bertanya.

Malah, sesetengah tuan punya kedai memandang saya penuh waswas. Mungkin dia ingat saya dari pejabat SPRM datang untuk menyiasat kes 1MDB.

Saya tidak mengharapkan layanan VVIP, tetapi sudah berasa amat selesa sekiranya pekedai atau pekerja menawarkan senyuman ikhlas, bukan wajah muncung ikan todak.

Berbeza betul setiap kali masuk ke kedai Cina, saya dialu-alukan penuh mesra. Paling tidak pun dia akan bertanya: “Encik cari apa? Boleh saya tolong?”

Walaupun tidak jadi membeli, atau tidak ada barang yang saya hendak, tuan punya kedai atau pekerja tetap mengucapkan terima kasih, dan senyum lagi.

Di kedai Melayu, kalau tidak jadi membeli, pekedai akan memandang kita dengan wajah marah. Malah pernah saya mendengar dia berkata:

“Pilih bukan main beria-ia, tapi tak beli. Tak ada duit janganlah berlagak!” Manisnya bahasa! Pada hemat saya orang seperti ini tidak layak menjaga kedai. Dia sepatutnya menjaga kandang harimau di Zoo Negara.

Kedua, orang kita nampak cincai, tidak mengambil berat tentang kebersihan. Susun letak barangan di kedai bukan sahaja lintang-pukang, malah menjijikkan.

Contoh: roti dan biskut ditempatkan betul-betul di sebelah mesin memarut kelapa dan memerah santan. Dan tukang memerah santan berlengeng, nampak bulu ketiak!

Biasa kita lihat di restoran makanan dan lauk-pauk terdedah begitu sahaja, dihurung lalat, malah lipas berkeliaran. Apakah tidak ada cara untuk melindungi makanan daripada lalat dan lipas?

Sekiranya KFC, McDonald’s dan lain-lain rangkaian restoran makanan segera dari luar boleh menghalau lalat dan lipas, kenapa tidak restoran dan penjual nasi lemak kita?

Ketiga, sesetengah peniaga kita sombong. Apabila jualan mencapai ke tahap terlajak laris, mula tidak memberi perhatian kepada pelanggan. Biasa. Telah banyak terbukti ini tanda-tanda awal kejatuhan.

Ustaz Somad betul bahawa orang Melayu Islam patut membantu perniagaan ummah. Tetapi peniaga dan usahawan kita perlu juga memperbaiki diri seperti rakan-rakan mereka bukan Islam.

Harga dan kualiti hanya sebahagian kecil yang boleh menarik pelanggan. Ciri dan faktor lain yang lebih besar juga perlu diambil kira.

Jika kita betul-betul Islam, kita sepatutnya selalu lebih baik, malah terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!