Perihal kata ulu atau hulu dan selamat datang

A
A
A

DALAM perjalanan ke pekan Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, penulis perlu melalui Mukim Hulu Bernam dari Tanjong Malim, daerah Muallim. Sebenarnya, daerah Hulu Selangor terdiri daripada 13 mukim, iaitu Hulu Bernam, Kalumpang, Kuala Kalumpang, Sungai Gumut, Kerling, Sungai Tinggi, Ampang Pecah, Peretak, Buluh Telor, Rasa, Batang Kali, Hulu Yam dan Serendah. Makalah kali ini, penulis ingin membicarakan kosa kata, iaitu “ulu” atau “hulu” dan slogan “Selamat Datang” yang kerap digunakan oleh masyarakat, pihak swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sewenang-wenangnya.

Sebaik-baik usai merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP, 2016), jelaslah bahawa perkataan, “ulu” tidak disenaraikan dalam entri kata (kamus) tersebut. Sebaliknya, yang tersenarai ialah perkataan “hulu”. Hulu bermaksud kepala, bahagian atas (sungai dan lain-lain), banat, udik, lawan hilir (mudik), pangkal, permulaan, tangkai (pisau, keris, cangkul, dan lain-lain), pemegang, hujung dan pedalaman.

Frasa contoh:

i. gering hulu – sakit kepala

ii. hulu sungai – bahagian atas sungai

iii. hulu hati – bahagian hati yang sebelah atas

iv. hulu cangkul – tangkai cangkul

v. orang hulu – orang yang tinggal jauh di pedalaman

Artikel Berkaitan:

vi. hulu kepala – ubun-ubun

vii. hulu hilir – hulu dan hilir, hujung pangkal

viii. hulu dinihari – lebih kurang pukul 4.00 pagi

ix. hulu malang – asal kesalahan

x. hulu mujur – pangkal untung, aman sentosa

xi. hulu negeri – darat

xii. hulu tongkat – kepala tongkat

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (Zainal Abidin Safarwan, 1995) pula meletakkan entri kata, “ulu” sebagai ejaan yang tidak rasmi, yakni bunyi huruf h tidak digunakan dan diberikan rujukan silang dengan ejaan yang rasmi, iaitu “hulu”. Oleh itu, yang manakah lebih persis “Ulu Bernam” atau “Hulu Bernam”?

Jika kata nama khas tersebut masih belum diwartakan oleh Pejabat Tanah dan Galian, Daerah Hulu Selangor maka yang persis sekali ialah Hulu Bernam. Daripada kata dasar, “hulu”, maka akan terbentuklah kata terbitan yang berikut, iaitu berhulu, berhulukan, menghulu, menghulukan, dan huluan selain penghulu dan hulubalang sebagai golongan kata nama.

Slogan, “Selamat Datang Tapah” dan “Selamat Datang Teluk Intan” turut menarik perhatian penulis. Jika ditelusuri sepintas lalu, maka boleh kita tafsirkan bahawa ucap selamat tersebut khas ditujukan kepada kedua-dua tempat yang berkenaan, iaitu Tapah dan Teluk Intan sedangkan matlamat asal ucapan adalah untuk mengalu-alukan kedatangan para tetamu, pelawat atau wisatawan (pelancong) ke tempat-tempat yang berkenaan.

Jadi, yang persis dan gramatis, pada hemat penulis ialah slogan-slogan ucapan seperti yang berikut:

i. Selamat Datang Tapah. (x)

Selamat Datang ke Tapah. (/)

ii. Selamat Datang Teluk Intan. (x)

Selamat Datang ke Teluk Intan. (/)

iii. Selamat Datang Kuala Kubu Bharu. (x)

Selamat Datang ke Kuala Kubu Bharu. (/)

iv. Selamat Datang Tanjong Malim. (x)

Selamat Datang ke Tanjong Malim. (/)

Sesungguhnya, kata kerja tak transitif, “datang” perlu disusuli dengan kata sendi, “ke” dan diikuti oleh unsur pelengkapnya, iaitu Tapah, Teluk Intan, Kuala Kubu Bharu atau Tanjong Malim. Yang berikutnya, slogan-slogan contoh yang perlu diberikan perhatian oleh para pengguna bahasa kebangsaan, pembaca dan masyarakat seluruhnya.

i. Selamat Datang Konvensyen Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019. (x)

Selamat Datang ke Konvensyen Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019. (/)

ii. Selamat Datang Majlis Pendaftaran Murid Tingkatan Satu. (x)

Selamat Datang ke Majlis Pendaftaran Murid Tingkatan Satu. (/)

iii. Selamat Datang Proton City. (x)

Selamat Datang ke Proton City. (/)

iv. Selamat Datang Bilik Sains, SMK Methodist, Tanjong Malim. (x)

Selamat Datang ke Bilik Sains, SMK Methodist, Tanjong Malim. (/)

v. Selamat Datang Universiti Pendidikan Sultan Idris. (x)

Selamat Datang ke Universiti Pendidikan Sultan Idris. (/)

Sebagai pengguna bahasa yang peka dan prihatin, kita sering dinasihati agar senantiasa membiasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, tepat dan gramatis sama ada dalam bahasa lisan atau bahasa penulisan. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Selamat Datang ke Kuala Kubu Bharu

Dirgahayu

Kuala Kubu Bharu

bersih ceria

nyaman sejahtera

aman bahagia

tanpa belenggu

hiruk-pikuk kota

cemar luka

sandiwara manusia.

Di sinilah, seikhlasnya

sebuah pekan kecil

warga anak-anak bangsa

di sarwajagat kemanusiaan

di sarwajagat kehidupan.

Chai Loon Guan, Galeri Sejarah KKB

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!