'Usaha merombak pentadbiran kerajaan terdahulu adalah tepat'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat Malaysia terus berusaha dan bersama-sama dalam memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Menurutnya, kadar jangkitan Covid-19 mengalami penurunan yang drastik daripada 10,915 kes pada 2 Oktober 2019 kepada 6,709 kes pada 11 Oktober 2021 adalah satu pencapaian terbaik dan rakyat juga perlu memainkan peranan untuk bersama-sama menjaga diri serta mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Perkembangan ini secara tidak langsung membuktikan usaha merombak pentadbiran kerajaan terdahulu adalah satu keputusan yang tepat.

“Ia juga membuktikan memang tiada keperluan untuk negara menggantung demokrasi bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Tanpa kerajaan diberi kuasa mutlak sekalipun penularan Covid-19 dapat dikurangkan dengan pemberian vaksinasi kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepatutnya program vaksinasi yang perlu disegerakan dan bukannya menggesa untuk melaksanakan ‘total lockdown’.

“Desakan adalah demi kemaslahatan rakyat, cuma ketika itu ada segelintir pihak agak ‘overthinking’ kerana keterlaluan memikirkan sudut politik.

“Jika lebih awal program vaksinasi dipergiatkan mungkin sudah lama rakyat dapat dibenarkan merentas negeri untuk bertemu insan tersayang dan hidup seperti sediakala.

Artikel Berkaitan:

“Walaubagaimanapun, perkara yang sudah berlaku perlu dijadikan pedoman dan sebahagian sejarah yang tidak sepatutnya berulang kembali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Covid-19 telah meragut hampir 300,000 nyawa rakyat Malaysia sejak Mac 2020 dan mangsa-mangsa yang terkorban sentiasa tersemat di dalam ingatan.

"Jadi kita perlu bersama-sama saling menginsafi apa yang terjadi meskipun dalam keseronokan pulang ke kampung halaman agar kita sentiasa berhemah dan berhati-hati," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!