Kemas pertingkat modul Stream di tabika
PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan mempertingkatkan modul pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Stream) di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika).
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kaedah dan modul STREAM ketika ini menggabungkan komponen inkuiri, penaakulan, kolaboratif dan penerokaan untuk membangun kebolehan kanak-kanak dalam mengaplikasi pengetahuan serta kemahiran.
“Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’, Kemas turut menekankan modal insan yang berpengetahuan dan berinovatif yang merupakan antara ciri modal insan yang ingin dibentuk,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, program Hari Potensi Kemas yang dilaksanakan secara maya selama lima hari bermula Isnin lalu adalah untuk membangunkan potensi kanak-kanak secara holistik dan menghasilkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Kejayaan kanak-kanak tidak hanya bertumpu dalam program pembelajaran semata-mata tetapi turut meliputi aspek pendidikan di rumah atau pendidikan secara tidak formal," kata Abdul Rahman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!