Azmin, pegawai kanan MITI dalam misi dagangan, pelaburan ke Eropah
KUALA LUMPUR - Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di Frankfurt, Jerman, bersempena program Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan penggerak kuasa ekonomi Eropah.
Misi yang bermula pada Rabu sehingga 21 Oktober, 2021 turut meliputi Perancis dan United Kingdom (UK), demikian menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Usaha misi ke Eropah ini menyasarkan syarikat-syarikat dalam kalangan perintis pembuatan pintar, automotif, elektrikal dan elektronik (E&E), peranti perubatan, industri berteknologi tinggi serta yang terlibat dalam pembangunan mampan, agenda hijau dan perdagangan digital baik di peringkat Eropah dan global.
“Di samping itu, negara-negara ini juga telah menggariskan dasar serta polisi untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 yang sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” kata kementerian itu.
Mohamed Azmin turut disertai oleh pegawai kanan MITI dalam misi tersebut yang bertujuan memaparkan dasar kerajaan Malaysia sebagai mesra perniagaan serta keupayaannya dalam bidang strategik seperti kemampanan, pembuatan tinggi dan Revolusi Perindustrian 4.0.
“Justeru, program TIM ini akan membabitkan sesi libat urus dengan pemimpin industri serta pelabur terkemuka Eropah dalam meninjau prospek perniagaan akan datang di Malaysia,” kata MITI.
Selain itu, Mohamed Azmin akan turut memanfaatkan sesi libat urus itu dengan berkongsi maklumat mengenai Pelan Pemulihan NMegara, RMK12 dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).
Beliau dijadualkan bertemu dengan pihak Persatuan Persekutuan Pengurusan Bahan, Pembelian dan Logistik eV (BME) yang dianggotai oleh lebih 9,000 penggiat logistik di Jerman dan Eropah.
Mohamed Azmin juga akan menemui kalangan pemimpin automotif global, Porsche AG dan Daimler AG di Stuttgart yang terbukti mencatat kemajuan dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) yang selari dengan hala tuju Malaysia membabitkan bidang pertumbuhan baharu dengan penekanan dalam elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Pada 2020, Jerman merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan menjadi sumber kedua terbesar dari segi pelaburan langsung asing (FDI) dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah perdagangan dua hala dengan Jerman bernilai RM35.45 bilion (AS$8.59 bilion) dengan eksport dan import masing-masing sebanyak RM18.75 bilion (AS$4.55 bilion) dan RM16.70 bilion (AS$4.05 bilion).
Pelaburan terbesar dari Jerman meliputi produk-produk E&E, bahan kimia dan produk berasaskannya selain produk petroleum.
Sementara itu, dalam kalangan EU, Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan sumber ketiga terbesar FDI pada 2020.
Malah, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah keseluruhan perdagangan antara Malaysia dan Perancis mencecah RM8.37 bilion (AS$2.03 bilion) manakala eksport ke Perancis mencecah RM3.64 bilion (AS$0.89 billion) dan import pada RM4.73 billion (AS$1.15 bilion).
Majoriti pelaburan Perancis di Malaysia merangkumi produk-produk bahan kimia dan barangan berasaskannya, jentera dan peralatan, kelengkapan pengangkutan serta produk petroleum.
Pada 2020, UK pula merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia di peringkat global.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan UK bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini telah mencecah RM11.19 bilion (AS$2.72 bilion) yang disumbangkan oleh eksport sebanyak RM6.52 bilion (AS$1.58 bilion) dan import RM4.67 bilion (AS$1.13 bilion).
Malaysia merekodkan pelaburan besar dari UK dalam bidang pengeluaran produk E&E, bahan kima dan produk berasaskannya serta produk petroleum. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!