Rakaman audio: Muhammad Jailani tidak mahu layan spekulasi
MELAKA - Sebuah rakaman audio mirip dua individu didakwa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Muhammad Jailani Khamis tular di media sosial sejak Selasa.
Rakaman perbualan berdurasi 8 minit 20 saat itu dipercayai berkaitan tawaran wang kepada bekas ADUN Bebas terbabit sekiranya beliau memberikan sokongan kepada UMNO.
Muhammad Jailani bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mahu melayan segala spekulasi politik termasuk isu rakaman audio yang dikatakan mirip suaranya yang tular itu.
Menurutnya, apa yang penting saat ini ialah untuk terus bekerja dan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan negeri serta kebajikan rakyat.
"Adakah saya seorang sahaja yang bersuara serak di Melaka ini? Ia spekulasi.
"Saya tidak mahu bercakap tentang spekulasi dan saya tak nak layan khabar angin, maaf cakap, yang lain saya tak nak ambil tahu," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh, di sini pada Rabu.
Perbualan audio itu turut menyebut mengenai laporan polis serta tawaran wang RM2 juta yang didakwa akan diterima individu itu.
Sinar Harian pada Selasa turut menyiarkan tular di media sosial rakaman audio perbualan dua individu mirip suara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Bagaimanapun Idris menafikan rakaman audio berdurasi 7 minit 4 saat itu. Ends#
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!