PICK bersifat anjal: Muhyiddin
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia kerana kerajaan mahu seluruh populasi di dalam negara ini dilindungi daripada ancaman Covid-19.
"Alhamdulillah, berkat perancangan rapi serta kerja kuat semua pihak, program vaksinasi yang digerakkan ke seluruh pelosok negara hanya kira-kira lapan bulan yang lalu, kini telah membuahkan hasilnya.
"Negara kita telah berjaya mencatatkan rekod yang menakjubkan dalam pemberian vaksin kepada populasi Malaysia dan diiktiraf sebagai antara yang terpantas di dunia," katanya ketika berucap pada majlis Diner Club Talk Maktab Ketahanan Nasional (NRC) di sini pada malam Rabu.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri berkata, kejayaan program vaksinasi Malaysia turut mendapat pujian dan pengiktirafan daripada negara-negara lain.
"Hasil proses vaksinasi yang pantas dan teliti kini dapat dilihat melalui pengurangan kes-kes baharu di dalam negara.
"Sejak awal bulan ini, statistik harian jangkitan positif Covid-19 menurun kepada empat angka, dengan kebanyakan kes adalah dalam kategori tidak bergejala atau bergejala ringan," katanya.
Muhyiddin menambah, ketika ini Malaysia telah pun mencapai kadar vaksinasi melebihi 90 peratus.
"Mengikut data terkini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 8 Oktober 2021, sejumlah 22.2 juta individu atau 94.7 peratus populasi dewasa di negara kita sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
"Daripada jumlah itu, seramai 20.9 juta individu atau 89.4 peratus sudah pun lengkap divaksin," katanya.
Tegas beliau, ia bermakna tidak sampai 10 peratus sahaja lagi dalam kalangan individu di negara ini yang belum mendapat suntikan vaksin Covid-19.
"Saya yakin dalam tidak berapa lama sahaja lagi, hampir 100 peratus individu di negara ini akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19. Jauh lebih awal daripada sasaran asal yang ditetapkan ketika saya melancarkan PICK pada 24 Februari lalu.
Menurutnya, seiring dengan perkembangan program vaksinasi tersebut, kehidupan masyarakat ketika ini sudah perlahan-lahan kembali seperti biasa iaitu pada waktu sebelum pandemik tetapi masih mengekalkan suasana norma baharu.
"Pandemik yang melanda sehingga menyelubungi negara kita dengan krisis kesihatan dan ekonomi sejak lebih setahun lalu patut menyedarkan kita betapa ancaman apa jua anasir yang mampu menggugat keselamatan rakyat dan kestabilan negara boleh datang secara mengejut tanpa amaran.
"Justeru itu, kita perlu sentiasa bersedia dan siap siaga untuk menghadapinya pada bila-bila masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!