Masjid pertama di Negeri Sembilan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Masjid Jamek Seremban atau dahulunya dikenali sebagai Masjid Jamek India, merupakan masjid pertama yang dibina di Negeri Sembilan.

Masjid Jamek Seremban di Jalan Tun Dr Ismail ini, bukan sahaja dikenali sebagai masjid tertua, sebaliknya seni bina masjid ini juga adalah unik serta berbeza daripada masjid yang ada di negeri ini.

Jika kebiasaannya seni bina bangunan di negeri ini dikaitkan dengan unsur Minangkabau, yang mana sesuai dengan Adat Perpatih, tetapi tidak pula masjid ini.

Boleh dilihat dengan jelas, reka bentuk masjid ini tidak ubah seperti masjid di Melaka, kerana ciri-ciri pembinaannya hampir sama dengan Masjid Kampung Hulu, hanya Masjid Jamek Seremban sahaja satu-satunya masjid yang mempunyai reka bentuk sebegitu di negeri ini.

Namun, berikutan transformasi pembangunan di sekeliling kawasan itu, termasuk kemajuan pesat pusat bandar Seremban, kerajaan negeri kemudian melalui Majlis Agama Islam menaik taraf dan membesarkan masjid itu bagi menampung keperluan jemaah.

MOHAMAD
MOHAMAD

Menurut Imam Masjid, Mohammad Hamat, pada awalnya masjid ini hanya memuatkan 500 jemaah sahaja, tetapi kini mampu memuatkan kira-kira 1,000 sehingga 1,500 dalam satu masa.

Wakaf keluarga pedagang Arab

Katanya, masjid yang berusia 119 tahun, dan dibina pada tahun 1900, oleh Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan keluarga Sheikh Abdul Kadir, yang dikatakan antara pendakwah terkenal asal dari Tanah Arab.

Artikel Berkaitan:

Mengikut catatan sejarah, tapak masjid itu diwakafkan oleh keluarga ini, sebelum mereka meninggal dunia.

No Image Caption



No Image Caption

Kata Mohamad, Dato Bandar Ahmad Ali datang ke Seremban untuk berdagang bersama tiga beradik yang lain, setelah berlaku kekecohan di Arab.

Namun setelah beberapa tahun di sini, dua adik beradiknya pulang semula ke Jeddah.

Hanya beliau dan isterinya sahaja yang menetap di Seremban, meneruskan perniagaan sehingga menghembuskan nafasnya terakhir di sini.

“Pada asalnya, masjid ini dibina menggunakan separa kayu dan separa simen, bagi memudahkan masyarakat Islam pada ketika itu menunaikan solat, memandangkan lokasinya berdekatan dengan sungai.

“Disebabkan peredaran zaman, maka masjid ini dinaiktaraf mengikut kesesuaian, tanpa mengubah bangunan asal kerana masjid ini merupakan salah satu tempat warisan yang perlu dipelihara sejarahnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Kekalkan binaan asal

Mohamad berkata, bangunan utama tidak terjejas termasuk menara masjid yang dibina pada 1924, masih kekal di ruang legar masjid ini.

Dikelilingi beranda bersaiz 2.5 meter, keluasan ruang induknya antara 30 meter lebar dan 35 meter panjang dan turut mempunyai sebuah mimbar asal.

Masjid ini mempunyai 30 tiang kecil yang mengukuhkan struktur binaan, sekali gus mengekalkan reka bentuk asal.

No Image Caption

Keunikan seni bina berunsurkan Islam menjadikannya dikagumi ramai sekali gus tarikan pelancong serta lambang keagungan syiar Islam di Negeri Sembilan.

“Malah kami pernah menerima sekumpulan pelatih paderi yang tertarik dengan seni bina bangunan masjid ini, selain lawatan masyarakat bukan Islam yang ingin mengetahui lebih mendalam perihal Islam,” katanya.

Mohamad yang dibantu 10 kakitangan tetap berkata, pihaknya berusaha merealisasikan konsep masjid dalam taman dengan memastikan keindahan landskap dan pohon-pohon hijau yang segar.

“Suasana persekitaran yang ceria dan segar mampu memberi impak positif kepada jemaah, tambahan pula masjid ini penuh dengan aktiviti keilmuan sepanjang minggu.

“Pelbagai kelas agama dilakukan, antaranya kelas Bahasa Arab, Feqah, tajwid, kelas mengaji, ceramah agama dan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan masjid ini dalam masyarakat,” katanya.

Masjid pertama di Negeri Sembilan

SEREMBAN - Masjid Jamek Seremban atau dahulunya dikenali Masjid Jamek India merupakan masjid pertama dibina di Negeri Sembilan, dan merupakan masjid tertua di negeri beradat ini. Laporan MOJO Sinar Harian Negeri Sembilan: SARINAH MAT KASIM

Posted by Sinar Harian Edisi Melaka & Negeri Sembilan on Thursday, March 7, 2019

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!