Genia Selangor sasar lahirkan usahawan kopi kampung
SHAH ALAM - Kumpulan Geng Niaga Mak Cun (Genia) Selangor menyasarkan untuk melahirkan seramai 319 usahawan kopi dan pelbagai produk lain di bawah mereka di seluruh Selangor menerusi program realiti, Zero To CEO anjuran sebuah syarikat swasta.
Salah seorang pesertanya, Sarina Mohd Som berkata, pelbagai perancangan telah dibuat bersama rakan-rakannya lain yang turut bersaing dalam program tersebut bagi melahirkan usahawan di Selangor.
Dia yang kini kekal dalam senarai 50 daripada 4,000 peserta dalam program tersebut berkata, pihaknya akan memilih beberapa usahawan yang terjejas dan membimbing mereka dari aspek rancangan perniagaan secara dalam talian dan cara meningkatkan pendapatan menggunakan produk yang diberikan.
“Strategi saya untuk menambah lebih ramai usahawan ialah dengan memperbanyakkan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR), turun ke lapangan untuk bertemu pelanggan, buat penjenamaan dan promosi.
“Saya juga bekerjasama dengan syarikat Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) untuk melahirkan usahawan-usahawan asnaf yang berjaya,” katanya ketika ditemui di bangunan Kumpulan Karangkraf, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sarina yang sebelum ini bekerja di Sinar Harian selama 23 tahun mengakui agak sukar untuk berada di kedudukannya sekarang memandangkan dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam dunia perniagaan.
Bagaimanapun, dia tidak pernah putus asa kerana sering mendapat bimbingan daripada rakan-rakan niaga yang lain untuk terus maju ke depan, selain berkat sokongan suami dan ibunya.
“Masa mula-mula saya menyertai program ini, saya berada di kedudukan paling bawah berbanding peserta lain dan pernah rasa ingin mengundur diri keranan tak mampu untuk teruskan.
“Memang masa itu, hati kuat untuk undur diri, tapi bila saya terkenangkan wajah anak, suami yang banyak berkorban dan doa ibu, saya kuatkan hati untuk teruskan dan akhirnya saya berjaya sampai ke tahap ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sarina berkata, usahanya bersama rakan-rakan lain untuk membangunkan usahawan di Selangor akan diteruskan walaupun program tersebut telah tamat.
Dia yang kini berjaya membangunkan seramai 30 usahawan di bawahnya akan terus mencari mereka yang berpotensi terutamanya dalam kalangan golongan asnaf untuk membimbing mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Jika sekarang mereka adalah penerima zakat, tidak hairan jika suatu hari nanti, mereka mampu menukar status mereka menjadi pembayar zakat setelah berjaya menjadi usahawan.
“Perjuangan kami tidak akan terhenti, usaha dan tekad akan diteruskan sampai bila-bila kerana kami berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berjaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!