Dos penggalak hilangkan gusar anak-anak
SELEPAS hampir dua tahun berperang dengan pandemik Covid-19, Malaysia melangkah ke satu lagi fasa kerana kerajaan akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin kepada warga emas 60 tahun ke atas.
Turut menerima dos penggalak pada peringkat awal itu adalah petugas barisan hadapan atau 'frontliners' yang setia mengerah keringat menyelamatkan nyawa rakyat sejak wabak pembunuh itu menular.
Berita itu bukan sahaja menggembirakan golongan itu, bahkan melegakan hati anak-anak yang ibu bapa mereka sudah lanjut usia.
Dalam kata lain, pemberian dos penggalak itu juga pastinya akan menghilangkan kegusaran anak-anak terhadap tahap imuniti ibu bapa mereka dalam melawan wabak berkenaan.
Ia kerana seperti yang kita tahu, golongan warga emas adalah kelompok berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius yang boleh meragut nyawa sekiranya dijangkiti Covid-19.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu dilaporkan akan memulakan pemberian dos penggalak berkenaan kepada dua golongan terbabit yang lengkap vaksinasi sekurang-kurangnya enam bulan lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera.
"Bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya menerusi satu kenyataan.
Khairy Jamaluddin berkata, dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada individu yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun imuniti tersebut menurun dari masa ke masa.
Pemberian dos penggalak itu juga dilihat tepat pada masanya selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri Isnin lalu.
Kebenaran rentas negeri membolehkan anak-anak yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat kembali bertemu ibu bapa mereka.
Dalam keterujaan melepaskan rindu kepada ibu bapa tersayang, pastinya kita tidak dapat elakkan diri daripada bersalam, mencium dan memeluk susuk tubuh kedua-dua orang tua.
Kelonggaran demi kelonggaran dalam aktiviti ekonomi, sosial dan sukan yang diberikan kerajaan juga membuatkan keadaan hidup beransur-ansur menjadi kembali normal.
Ekoran itu, ibu bapa juga terdedah dengan risiko jangkitan kerana rutin harian kebanyakan manusia sememangnya akan bertemu orang sekeliling setiap hari.
Justeru, bagi anak-anak pemberian dos penggalak itu sememangnya perkara yang ditunggu-tunggu kerana ia dapat meningkatkan tahap imuniti badan ibu bapa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!