Nasib dua beradik yatim piatu terbela
SUNGAI PETANI - Nasib dua beradik yatim piatu yang hilang tempat bergantung setelah kematian kedua ibu bapa mereka kini terbela setelah kedua-duanya dimasukkan ke Rumah Anak Yatim Perempuan Jariah Qaseh.
Nor Amanina Hazwani Romli, 15 dan Nur Amera Natasha Romli, 13, dihantar ke rumah berkenaan yang terletak di Perdana Heights, Sungai Petani setelah mereka tidak lagi mampu membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan di Kampung Ruat, Yan selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia.
Nor Amanina berkata, biarpun keputusan yang dibuat bakal mengubah perjalanan hidup dia dan adiknya, namun demi masa depan mereka terpaksa menumpang kasih setelah hilang tempat bergantung dan bermanja.
"Ibu, Normala Mad Desa, 45, meninggal dunia pada 13 Ogos lalu akibat sakit barah otak.
"Ayah pula, Romli Saad, 58, meninggal dunia 2 Oktober lalu selepas dijangkiti Covid-19 dari rakan nelayan lain," katanya.
Menurutnya, kematian kedua-duanya dalam masa singkat membuatkan mereka dua beradik buntu memikirkan nasib diri.
"Ada juga saudara yang minta tinggal bersama tetapi kami tak mahu susahkan mereka sebab mereka pun bukan orang senang.
"Bila cikgu dan lain-lain bincang untuk pindahkan ke sini, kami setuju dan reda," jelasnya.
Nor Amanina menjelaskan, biar apa pun terjadi, dia dan Nur Amera enggan berpisah serta mahu ditempatkan bersama walau di mana jua mereka berada.
"Saya tetap akan jaga adik kerana inilah amanah arwah ibu ayah tinggalkan, kami akan tetap bersama," ujarnya.
Dia bagaimanapun menyimpan azam untuk terus berjaya dan ingin mengubah kehidupan mereka agar lebih baik pada masa hadapan
Sementara itu, adiknya, Nur Amera mengakui kehilangan kedua-dua orang tuanya dalam tempoh singkat menjadikan dirinya terasa sunyi.
"Terlalu rindukan ibu dan ayah, tetapi sekarang hanya ada kakak sebagai peneman," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh, Natipah Abu berkata, pihaknya bersedia menerima dua beradik itu yang dianggap sebagai anak-anaknya untuk tempat berkongsi kasih sayang antara satu sama lain.
"Setakat ini, Rumah Anak Yatim Qaseh Jariah yang beroperasi pada 2 Jun 2019 mempunyai sembilan penghuni terdiri daripada anak yatim dan yatim piatu.
"Matlamat kita ialah menjadikan rumah ini sebagai tempat berkongsi sayang bagi mereka yang kehilangan tempat bergantung.
"Kesemua perbelanjaan menggunakan sumbangan orang ramai melalui akaun Maybank bernombor 5521-0763-4719 atas nama Pertubuhan Jariah Qaseh," elasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!