Trump tunai hajat pesakit sistik fibrosis
CONNECTICUT - AMERIKA SYARIKAT. Hajat seorang pesakit sistik fibrosis untuk bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tercapai apabila dihubungi presiden berkenaan.
Jay Barrett, yang kini ditempatkan di rumah penjagaan hospis menerima panggilan istimewa tersebut yang diuruskan oleh kakaknya Bridgette Hoskie, yang juga seorang ahli majlis parti Demokrat.
Menerusi panggilan itu, Trump meminta Barret,44, agar terus kuat melawan penyakitnya dan berterima kasih kerana menyokong beliau.
Sementara itu, Barret yang dijangka mempunyai masa enam bulan untuk hidup, berharap dapat mengundi Trump dalam Pilihan Raya Presiden AS tahun depan.
"Saya mengagumi kempen pilihan raya Trump sejak ia mula dilancarkan, dan saya berharap dapat mengundi beliau kelak," kata Barret kepada akhbar New Haven Register.
Dalam pada itu, anak lelaki Presiden Trump, Eric turut berjanji untuk mengirimkan hadiah istimewa buat Barret. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!