Silva sedia bantu Neymar
TONGGAK pertahanan Brazil, Thiago Silva sedia membantu memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya, Neymar yang mengakui ‘kepenatan’ dengan sukan bola sepak, awal minggu ini.
Menurut Silva, Neymar juga telah berkata, dia tidak tahu sejauh mana dirinya mampu bertahan untuk terus beraksi dalam sukan bola sepak selepas ini.
“Saya menawarkan khidmat nasihat saya kerana saya sendiri pernah melalui detik yang sama seperti Neymar sebelum ini, terutamaya selepas Piala Dunia 2014 lalu di mana ketika itu saya digelar sebagai pemain yang manja dan lemah khususnya dari segi mental.
“Apa pun saya berharap dia (Neymar) akan kembali ceria seterusnya mampu untuk terus beraksi dalam sukan bola sepak selepas ini kerana dia merupakan seorang pemain yang istimewa.
“Maksud saya, apabila dia berasa gembira, dia akan fokus melakukan perkara yang digemarinya dan seterusnya ia akan membantu kemenangan pasukan dengan menjaringkan gol,” katanya.
10 Oktober lalu, Neymar membuat pengakuan mengejut apabila menyatakan bahawa dia mungkin akan bersara daripada tugasan Piala Dunia, selepas Piala Dunia 2022 yang akan datang.
Neymar turut mengatakan dia tidak pasti apa yang akan berlaku pada kariernya selepas ini selain tidak pasti samada memiliki kekuatan dari segi mentaliti untuk terus bermain bola sepak.
Malah Neymar turut membayangkan bahawa Piala Dunia 2022 bakal menjadi saingan Piala Dunia terakhir buat dirinya dan akan memberikan segalanya bagi membantu Brazil muncul juara.
Sementara itu Silva berharap dia mampu membantu Neymar dan seterusnya meyakinkan pemain berkenaan untuk terus bergiat aktif dalam bola sepak.
“Saya telah lama mengenali Neymar. Selain menjadi rakan sepasukan bersama pasukan Brazil, kami juga pernah beraksi bersama-sama untuk Paris Saint-Germain (PSG).
“Oleh itu, saya akan cuba sedaya upaya saya untuk membantunya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!