Empat lelaki ditahan miliki 171 pil yaba
PASIR MAS - Polis menahan empat lelaki dan merampas 171 pil yaba bernilai RM1,710 dalam dua serbuan berasingan di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 39 tahun yang ditahan itu turut positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan penggunaan bahan terlarang itu.
"Serbuan pertama dilakukan di kebun buah-buahan di Kampung Lebai Akil, Chicha pada jam 4.20 petang berjaya menahan tiga lelaki berusia 26 dan 39 tahun serta merampas 51 biji pil yaba.
"Salah seorang suspek yang ditahan turut mengaku mendapatkan bekalan dadah itu dari abangnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Nasaruddin berkata, susulan itu pihaknya berjaya menahan seorang lagi suspek di tepi Jalan Kampung Lebai Akil, di sini pada jam 5.10 petang hari yang sama.
Beliay berkata, ketika penahanan suspek yang bekerja sebagai buruh itu, polis turut menemui 120 biji pila yaba dalam genggaman tangan kanannya.
"Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine.
"Suspek mengaku kesemua pil-pil itu adalah miliknya dan hasil soal siasat awal suspek turut mengaku memperoleh bekalan daripada seorang lelaki yang tinggal di Kampung Pulai, di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!