UMK perkenalkan produk wafer emas bantu pelajar

Nik Maheran (kiri) dan tetamu kehormat yang lain menunjukkan wafer emas berkenaan.
Nik Maheran (kiri) dan tetamu kehormat yang lain menunjukkan wafer emas berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Bagi membantu seramai 45 pelajar yang tidak mampu membayar yuran konvokesyen, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan produk eksklusif wafer emas yang dijual bersempena Majlis Istiadat Konvokesyen Kali Ke-10 dan 11, pada 20 November depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, langkah berkenaan adalah untuk membantu pelajar-pelajar tersebut menyelesaikan yuran berkenaan sekali gus dapat bergraduasi seperti pelajar-pelajar lain.

"Pengenalan wafer edisi khas itu sebagai galakan melabur sambil menderma dan inisiatif universiti untuk membantu penuntut yang tidak bergraduasi kerana mempunyai masalah tidak mampu membayar yuran konvokesyen.

“Kami berharap dengan usaha ini akan membantu mereka yang memerlukan dan kita juga menetapkan sasaran yang bersesuaian bagi memastikan matlamat untuk membantu pelajar-pelajar berkenaan akan tercapai, insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Nik Maheran sebelum itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mewakili UMK dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMK dengan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd, sekali gus melancarkan Produk Eksklusif Edisi Konvokesyen UMK Kali-10 dan Ke-11 di UMK di sini.

Majlis menandatangani MoU antara UMK dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd.
Majlis menandatangani MoU antara UMK dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Kelantan Gold Trade Sdn Bhd.

Turut hadir mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob adalah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Mengulas lanjut, katanya, apa yang istimewanya, wafer emas berkenaan adalah ia menggunakan corak cokmar konvokesyen UMK dan jata negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Ketulenan emas bermutu tinggi yang dihasilkan dijadikan sebagai token atau cenderamata kenang-kenangan eksklusif dan aset simpanan terbaik jangka masa panjang kepada warga UMK dan orang ramai.

“Wafer edisi khas ini dijual dengan harga RM320 untuk satu gram dan kami menyasarkan 1,000 unit wafer emas dapat dijual dalam waktu terdekat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!