Mohon syarat wajib ujian pengesanan Covid-19 dikekalkan
ALOR SETAR - Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Chapter Kedah dan Perlis masih berharap ujian pengesanan Covid-19 yang diwajibkan untuk pelancong ke Pulau Langkawi dapat dikekalkan.
Presiden MyBHA Chapter Kedah dan Perlis, Zakaria Zainol berkata, pihaknya berpendapat kejayaan gelembung pelancongan Langkawi pada bulan September lepas disebabkan ujian pengesanan Covid-19 diwajibkan.
Bagaimanapun, Zakaria memberitahu, pengusaha industri perhotelan Langkawi bimbang tahap keyakinan pelancongan menurun apabila kerajaan mengambil tindakan membatalkan keperluan ujian pengesanan Covid-19 itu.
"Kita tidak mahu jadi seperti pulau peranginan terkenal Phuket di Thailand yang dibuka semula kepada pelancong dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) hingga menyaksikan peningkatan kes Covid-19.
"Jadi, sebagai iktibar dan langkah berjaga-jaga, maka kita harap langkah mewajibkan ujian pengesanan Covid-19 diteruskan bagi mengelakkan penularan jangkitan tinggi di pulau peranginan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Zakaria berkata, pihaknya kini risau dan meminta kerajaan mengambil tindakan yang bertanggungjawab untuk memastikan keyakinan pelanggan berada pada tahap tinggi untuk melancong ke Pulau Langkawi.
"Pelancong yang akan ke Langkawi harus dipastikan dan wajib mematuhi SOP ketat termasuklah mewajibkan semula ujian pengesan Covid-19 seperti ditetapkan sebelum ini," katanya.
Pandangan sama disuarakan Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff yang meminta syarat ujian pengesanan Covid-19 ke atas pelancong yang dibatalkan berkuat kuasa Selasa lalu dikembalikan semula.
Menurut Mohd Yusrizal, Cake memang senada dengan pandangan MyBHA yang tidak bersetuju dengan langkah pembatalan itu, sekali gus berharap masih ada tindakan seperti ujian saringan Covid-19 di pintu masuk ke pulau perlancongan tersebut.
Mohd Yusrizal berkata, usaha berkenaan perlu dalam mengekang penularan Covid-19 meskipun Pulau Langkawi telah mencapai tahap vaksinasi 90 peratus dan negara memasuki fasa endemik.
"Apa salahnya syarat mewajibkan ujian Covid-19 diteruskan seperti biasa demi membendung sebarang penularan, yang mana individu yang dikesan positif perlu dikuarantin dan tidak akan dibenarkan melancong ke Langkawi," katanya.
Beliau melahirkan kebimbangan ada pengguna tidak mengendahkan saranan untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalananan ke Langkawi susulan syarat ujian pengesanan Covid-19 telah dibatalkan.
Pada Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi berkuat kuasa 12 Oktober selepas mengambil kira peratus pelancong dikesan positif semasa saringan amat rendah.
Bagaimanapun, langkah pembatalan keperluan ujian pengesanan Covid-19 tidak dipersetujui pengusaha industri perhotelan Langkawi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!