Isu Ziyad: Laporan penuh siap minggu depan

Muhammad Ziyad
Muhammad Ziyad
A
A
A

SIASATAN dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini, selesai dua hari lalu.

Pengerusi jawatankuasa siasatan itu, Tan Sri Borhan Dolah memaklumkan pihaknya kini akan menumpukan untuk menyiapkan laporan penuh siasatan yang dijangka dapat dilengkapkan pada minggu hadapan.

"Alhamdulillah apa yang saya boleh rumuskan adalah siasatan pada Isnin dan Selasa lalu berjalan lancar. Kesemua 10 individu dipanggil memberi kerjasama yang amat baik dalam membantu siasatan kami.

"Pihak kami berpuas hati dengan bukti dikemukakan mereka dan tiada lagi individu tambahan akan dipanggil lagi selepas ini. Kesemua maklumat diperoleh sudah cukup bagi kami untuk menyiapkan laporan yang dijangka siap minggu depan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis

Antara individu dipanggil membantu siasatan jawatankuasa berkenaan adalah Ziyad, jurulatihnya Mohd Faizol Harun dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin.

Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menjangkakan kesemua hasil kerja mereka termasuk penyerahan laporan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan dapat dilaksanakan sebelum hujung bulan ini.

Selepas laporan diserahkan, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada satu tarikh sesuai bagi menerangkan dengan lebih lanjut siasatan termasuk syor dikemukakan untuk tindakan lanjut boleh diambil dan menjelaskan sebarang keraguan kepada KBS.

Sekiranya KBS tidak berpuas hati dengan siasatan dijalankan, Borhan memberi jaminan pihaknya sememangnya bersedia untuk melakukan siasatan tambahan bagi memuaskan hati kementerian mengenai isu menyelubungi pemenang emas Rio 2016 itu.

Artikel Berkaitan:

Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!