Pulau Batu Puteh: Ambil tindakan tegas pihak lakukan kecuaian

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu tindakan tegas diambil kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan kecuaian dalam proses permohonan semakan dan pentafsiran Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim turut menuntut penjelasan daripada pihak berkenaan mengapa permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak diteruskan.

Persoalan baginda itu merujuk kepada pihak kerajaan pada 2018 yang ketika itu berada di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya,” titah baginda menerusi Royal Press Office pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian dan meneliti kes berkaitan Pedra Branca.

Pasukan petugas khas itu juga akan bertanggungjawab mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan kemudiannya memaklumkan kerajaan negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan berkenaan dapat menjelaskan juga punca mengapa kerajaan sewaktu pimpinan Dr Mahathir menarik balik semakan kes tersebut.

“Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!