Bekas pemandu Grab rayu bantuan
RAWANG - Bekas pemandu Grab hilang punca pendapatan selepas buah pinggang bengkak dan bernanah akibat batu karang sejak Ogos tahun lepas.
Situasi itu menyebabkan jangkitan kuman merebak ke bahagian mata dengan kanta mata kanan terpaksa dibuang serta penglihatan sebelah kiri kabur.
Ahmad Nuraddin Mohd Yusof, 39, berkata, terdahulu dia merupakan pemandu teksi dan pemandu pelancong di Langkawi selama 12 tahun.
Menurutnya, selepas berpisah dengan isteri ketika menetap di Ipoh pada 2015, dia merantau ke Bukit Sentosa dengan menyewa rumah di Flat Anggerik.
"Sewa rumah sebanyak RM250 sebulan dengan bekerja sebagai pemandu Grab dan pada tahun lepas, saya sering demam sehingga terpaksa hububgai ambulans untuk dihantar ke Hospital Selayang.
"Saya memang dah ada sakit batu karang dan doktor dapati, buah pingang membengkak dan bernanah sebelum pembedahan dilakukan serta ditahan wad selama dua minggu.
"Saya terpaksa berhenti bawa Grab dan selepas keluat hospital, tidak lama kemudian mata pula rasa sakit sebelum pergi ke klinik untuk periksa," katanya.
Ahmad Nuraddin berkata, kedua-dua mata bertambah sakit menyebabkan dia mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama dan dimaklumkan matanya dijangkiti kuman.
Menurutnya, pihak hospital melakukan pembedahan membuang kanta mata kanan dan merawati mata kiri.
"Bila tidak boleh memandu Grab, saya tiada pendapatan dan terpaksa keluar rumah sebab tiga bulan tertunggak sewa rumah.
"Saya menumpang di rumah adik di Kedah sebelum menjadi gelandangan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) selama dua minggu.
"Ada orang bantu bagi tumpang tidur dalam sebulan dan selepas itu, saya kembali menumpang di TBS dalam 10 hari," katanya.
Ahmad Naruddin berkata, dia meminta ihsan orang ramai dengan memuat naik kisah hidupnya di Facebook dan mendapat sebuah bilik sewa di bangunan kedai dua tingkat dekat Bandar Rawang sejak sebulan lalu.
Menurutnya, dia mulai bimbang tidak dapat membayar sewa bilik RM250 sebulan itu kerana tidak lagi mampu bekerja.
"Saya perlu ke hospital setiap bulan dan perlu menjalani pembedahan menukar kanta mata pada bulan depan dengan kos mencecah RM3,000.
"Semua wang simpanan sudah habis dibelanjakan dan kini hanya bergantung kepada bantuan orang ramai untuk belanja harian.
"Apa yang saya risau adalah kos pembedahan mata, bayaran sewa bilik dan belanja harian kerana saya belum mampu untuk kembali bekerja,"katanya.
Ahmad Naruddin berkata, dia memohon bantuan ilat bulanan daripada Perkeso namun ditolak sebaliknya akan diberikan bantuan pukal yang bayaran dilakukan dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan lagi.
Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akuan CIMB 7070316427 atau hubungu Ahmad Nuraddin di talian 018-2912583
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!