Gangguan air: Kuala Selangor dijangka paling awal terima bekalan
SHAH ALAM - Kawasan Kuala Selangor dijangka paling awal menerima bekalan air selepas kerja-kerja pembaikan dan penyelengaraan aset utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 1 (SSP1) selesai sepenuhnya.
Kawasan Klang pula dijangka menjadi lokasi terakhir menerima agihan bekalan air terawat dari LRA berkenaan.
Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan@Shah Alam, di sini pada Khamis.
"Hari ini juga kita nasihat orang ramai untuk buat simpanan air malah menerusi lawatan saya tadi dapat dilihat kolam statik turut diisi secara konsisten.
"Gangguan (bekalan) itu ada tapi lebih terkawal," katanya.
Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini gangguan bekalan air di Selangor susulan pelaksanaan kerja penyelengaraan dan pembaikan aset utama di LRA berkenaan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerja-kerja penyelengaraan dan pembaikan itu terpaksa dilaksanakan selepas tempoh 27 tahun susulan beberapa insiden kebocoran pada tahun 2016 dan 2020 lalu.
Katanya, tindak balas antara bahan kimia yang digunakan bagi proses rawatan air telah memberi kesan kepada paip berkenaan dan memerlukan proses penyelengaraan.
"Kalau dibiarkan, ia akan bocor dan proses baik pulihnya akan lebih teruk," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak 998 kawasan di sekitar Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula pada Rabu.
Gangguan bekalan air bermula 9 pagi itu menjejaskan wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset utama air di LRA itu juga dilaporkan siap sepenuhnya jam 8.15 malam Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!